Setengah Kes Baru Peka B40 Menghidap Satu NCD

Sehingga 6 Oktober, lebih 100,000 orang telah menjalani saringan kesihatan.

KUALA LUMPUR, Nov 12 – Sehingga Julai, 55 peratus kes baru yang dikesan di bawah analisis Peka B40 menghidap sekurang-kurangnya salah satu daripada penyakit tidak berjangkit (NCD), iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, tinggi kolesterol darah, dan juga masalah kesihatan mental, kemurungan (depression) dan kerisauan (anxiety).

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata sedemikian dalam sidang parlimen semalam semasa menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Batu Gajah Sivakumar Varatharaju Naidu mengenai keberkesanan pelaksanaan program Peka B40 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sehingga 24 September 2019, sebanyak 1,430 buah klinik perubatan swasta telah berdaftar sebagai Klinik Peka B40,” kata Dzulkefly.

“Seramai 88,844 orang penerima BSH (Bantuan Sara Hidup) termasuk pasangan mereka yang berdaftar, berumur 50 tahun dan ke atas telah pun menjalani saringan kesihatan di bawah Peka B40.

“Sehingga 1 September 2019, seramai 655 orang menerima manfaat 2, seramai 229 orang telah menerima manfaat 3 dan seramai 703 orang telah menerima manfaat 4.”

Manfaat 1 ialah saringan kesihatan percuma di klinik perubatan swasta, Manfaat 2 ialah bantuan alat perubatan dengan had maksimum seumur hidup sebanyak RM20,000, Manfaat 3 ialah insentif sebanyak RM1,000 untuk melengkapkan rawatan kanser, dan Manfaat 4 ialah insentif tambang pengangkutan untuk mendapat rawatan di hospital KKM (RM500 untuk Semenanjung Malaysia dan RM1,000 untuk Sabah/ Sarawak/ Labuan).

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata bahawa setakat 6 Oktober, lebih dari 100,000 orang telah menjalani saringan kesihatan di bawah Peka B40.

“Kementerian Kesihatan Malaysia akan mempertimbangkan untuk mengembangkan Peka B40 dari segi faedah atau manfaat serta kriteria kelayakan peserta bagi program ini setelah penilaian keberkesanan secara menyeluruh terhadap projek perintis Peka B40 ini dilaksanakan,” tambah Dzulkefly.

You may also like