KKM Lancar Kempen ‘Let’s TALK Minda Sihat’

Kempen tersebut bersempena dengan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019.

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Kempen “Let’s TALK Minda Sihat” sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019.

Kempen KKM tersebut bertemakan “Sayangi Nyawa Hidupkan Harapan” dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, bukan kerajaan dan NGO.

“KKM mengharapkan agar masyarakat yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan agar lebih mengambil tahu tentang masalah dan penyakit mental, lebih prihatin terhadap mereka yang mengalami masalah kesihatan mental, turut menggalakkan dan membantu mereka yang bermasalah ini untuk tampil bercakap dan berbincang dengan orang yang mereka percaya, serta mendapatkan bantuan professional,” kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dalam sebuah kenyataan.

Bagi tiga tahun pertama, KKM akan bekerjasama dengan pihak -pihak berkaitan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti pengwujudan kiosk “Let’s TALK” di peringkat komuniti, penambahan masa ke udara dalam media dan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Pertandingan Video Pendek, Bicara Berirama dan Pertandingan Mural.

KKM juga menyeru pihak kementerian-kementerian dan agensi kerajaan serta bukan kerajaan diseru untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan dangan menggunakan jenama (branding), logo “Let’s TALK Minda Sihat” dan meletakkan #letstalkmindasihat dalam media sosial agensi masing-masing.

“Penglibatan penggiat-penggiat seni dan pengamal-pengamal media dalam menjayakan kempen ini juga diharap dapat memberikan impak yang besar terutamanya kepada remaja dan masyarakat amnya bagi mengurangkan masalah stigma terhadap perkara berkaitan masalah ataupun penyakit mental,” kata Dzulkefly dalam ucapannya.

“Justeru pada hari ini, KKM akan mula bekerjasama dengan Teeb TV untuk menjayakan Malaysia Mental Health Film Festival yang julung-julung kali diadakan di Malaysia.”

Dzulkefly turut berkata bahawa dengan usaha kerajaan ke arah dikriminalisasi cubaan bunuh diri, adalah diharapkan pesakit yang mempunyai masalah kemurungan atau pernah mencuba untuk membunuh diri akan lebih terbuka untuk tampil mendapatkan rawatan dan menerima pemulihan tanpa stigma.

“Saya difahamkan bahawa baru-baru ini, salah satu Pertubuhan Bukan Kerajaan iaitu MMHA (Malaysian Mental Health Association) telah mewujudkan satu pusat dinamakan The Mind Hub bertempat di sebuah pusat membeli belah untuk menawarkan perkhidmatan sokongan berhampiran dengan masyarakat.

“KKM amat berharap lebih banyak lagi pusat-pusat seperti ini dapat diwujudkan untuk membantu ahli masyarakat yang memerlukan. Ini adalah kerana isu kesihatan mental ini bermula juga daripada isu–isu sosial yang di luar jangkauan Kementerian Kesihatan.”

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dilaksanakan oleh KKM pada tahun 2015 melaporkan bahawa tiga daripada 10 orang berumur 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental.

NHMS 2017 melaporkan dalam kalangan remaja berumur 13 sehingga 17 tahun pula, 18.3 peratus mengalami tanda-tanda kemurungan, 10 peratus daripada mereka mempunyai idea bunuh diri, dan 7.9 peratus telah melakukan cubaan bunuh diri. Tren ini menunjukkan peningkatan berbanding daripada hasil kajian pada tahun 2012.

You may also like