Malaysia Rujuk Undang-Undang Bunuh Diri UK, Australia, India, Pakistan

India dekriminalisasi percubaan bunuh diri tahun lepas.

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji undang-undang berkaitan dengan kesalahan persuhabatan dan percubaan membunuh diri di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong memberitahu Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, yang bertanya di Parlimen tentang status usaha kerajaan meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk dekriminalisasi percubaan membunuh diri, bahawa kajian masih di peringkat rundingan awal dengan pemegang taruh.

Antara pemegang taruh yang dirundingi ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pendidikan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Belia dan Sukan; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; Befrienders Kuala Lumpur; dan Persatuan Psikiatri Malaysia.

“Jabatan Peguam Negara juga sedang menjalankan kajian perbandingan peruntukan undang-undang bagi kesalahan yang serupa dengan kesalahan seksyen 305, 306 dan 309 di bawah Kanun Keseksaan dan pelaksanaannya di United Kingdom, Australia, Pakistan dan juga India bagi melihat pendekatan yang diambil oleh negara yang dikaji tersebut,” Liew berkata.

Di United Kingdom dan Australia, percubaan pembunuhan diri bukan satu kesalahan, tetapi ia masih satu kesalahan di Pakistan. Manakala kerajaan India dekriminalisasi percubaan bunuh diri tahun lepas, di mana orang yang cuba bunuh diri akan dianggap di bawah Akta Penjagaan Kesihatan Mental 2017 sebagai menghadapi stres teruk dan tidak akan dihukum di bawah Kanun Keseksaan.

Seksyen 305 Kanun Keseksaan Malaysia melarang persuhabatan dalam pembunuhan diri oleh kanak-kanak atau orang gila, manakala Seksyen 306 melarang persuhabatan dalam pembunuhan diri.

Percubaan bunuh diri boleh dihukum dengan penjara satu tahun, atau denda, atau kedua-dua sekali.

You may also like