Pakar Pediatrik: Pihak Anti-Vaksin Tak Berhak Membahayakan Orang Lain

Kekhuatiran bahawa vaksin akan melemahkan imunisasi kanak-kanak adalah salah, kata Dr Musa.

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kanak-kanak berhak untuk bermain tanpa rasa takut dijangkiti campak, pertusis (batuk kokol), cacar air, dan penyakit lain daripada kanak-kanak lain yang tidak divaksin, kata seorang pakar pediatrik.

“Seperti merokok, dengan peningkatan risiko kanser dan penyakit jantung, Kementerian Kesihatan memutuskan supaya perokok tidak mendedahkan asap rokok kepada orang lain yang tidak merokok,” pakar pediatrik dan neonatologi Hospital Pakar Damansara, Dr Musa Mohd Nordin, berkata kepada Bernama.

“Begitu juga, kanak-kanak yang tidak bersalah ini mempunyai hak untuk bermain tanpa khuatir dijangkiti campak, pertusis, cacar air atau penyakit lain daripada rakan mereka yang ibu bapanya percaya semua yang dibaca dalam Internet. Kebebasan memilih adalah perkara baik, (tetapi) kebebasan untuk membahayakan orang lain adalah tidak.”

Seseorang kanak-kanak itu akan meningkatkan risiko pertusis sebanyak 23 kali, sembilan kali cacar air dan penyakit lain sekiranya ibu bapa mereka tidak memberi vaksin kepada anak mereka, menurut Dr Musa.

Mengikut beliau, secara saintifik, fikiran bahawa pemberian beberapa jenis vaksin akan melemahkan dan menjejaskan sistem imun kepada kanak-kanak yang terdedah adalah salah.

“Sel-sel sentiasa dipulihkan dan dianggarkan sekiranya semua vaksin berjadual diberikan kepada seorang kanak-kanak pada satu-satu masa, hanya 0.1 peratus daripada ruang imun akan digunakan.

“Vaksin yang ada sekarang juga mengandungi sedikit antigen. Pada masa lalu, satu dos cacar mempunyai 200 antigen, hari ini, hanya 150 antigen dalam 14 vaksin yang diberi kepada kanak-kanak,” katanya.

You may also like