Sambutan Hari Farmasi Sedunia 2019 — Amrahi Buang

Slip preskripsi yang tidak disaring oleh ahli farmasi boleh memudharatkan pesakit.

Bersempena dengan Hari Farmasi Sedunia yang diraikan setiap 25 haribulan September setiap tahun, tema sambutan pada tahun ini adalah “Ubat-Ubatan Yang Selamat Dan Berkesan Untuk Semua”.

Tema ini dipilih oleh International Pharmaceutical Federation (FIP), sebuah badan antarabangsa farmasi, untuk mempromosikan peranan penting ahli farmasi dalam memastikan keselamatan pesakit melalui penggunaan ubat dan mengurangkan kesilapan pengubatan.

Mengikut Presiden FIP, Dorminique Jordan, “Ahli-ahli farmasi menggunakan ilmu yang luas serta kepakaran yang unik untuk memastikan orang ramai mendapat manfaat yang terbaik daripada ubat-ubatan mereka. Kita memastikan akses untuk mendapatkan ubat, pengambilan ubat yang betul, meningkatkan kepatuhan, menyelaraskan transisi dalam penjagaan dan banyak lagi. Lebih-lebih lagi, pada hari ini, ahli-ahli farmasi dipertanggungjawabkan untuk memastikan bila mana ubat digunakan oleh pesakit, ia tidak mengakibatkan kemudaratan.”

Jika diamati secara teliti, tema ini menjurus kepada tiga perkara utama berkaitan ubat iaitu keselamatan, keberkesanan dan melibatkan semua pihak khususnya kepada para pesakit.

Dalam konteks negara Malaysia, peranan ahli-ahli farmasi untuk memastikan ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan untuk semua dilihat dari segi polisi kerajaan di mana semua ubat di pasaran Malaysia mestilah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Aspek regulatori yang dimainkan oleh ahli-ahli farmasi ini adalah sangat signifikan kerana selain pendaftaran produk, pemantauan penggunaan produk berdaftar juga dilakukan selepas ianya berada di pasaran melalui aktiviti farmakovirgilans.

Ini ditambah dengan aktiviti penguatkuasaan farmasi yang mana ahli-ahli farmasi bertanggungjawab memastikan ubat-ubatan tidak berdaftar yang dikesan di pasaran diambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang sedia ada. Ini juga termasuk penjualan ubat melalui dalam talian dan iklan-iklan yang tidak mematuhi akta berkaitan.

Keselamatan pengubatan dalam sistem kesihatan dwi wajah di negara ini adalah satu isu yang besar yang secara terus melibatkan kemaslahatan rakyat.

Aspek keselamatan pengubatan ini sangat dititikberatkan di sektor awam manakala kekurangan ahli-ahli farmasi di hospital-hospital swasta dan ketiadaan pengasingan pendispensan di sektor rawatan utama swasta menunjukkan lompang yang besar dalam aspek keselamatan pengubatan. Perkara ini secara langsung melibatkan aspek keselamatan pesakit.

Tanggal 17 September 2019 yang lalu adalah Hari Keselamatan Pesakit Sedunia yang bertemakan “Speak Up For Patient Safety” di mana aspek keselamatan pesakit diutarakan dan keselamatan pengubatan diberikan satu fokus yang spesifik.

Pada tanggal 8 Ogos 2019 yang lalu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan polisi preskripsi dimana para doktor di klinik-klinik swasta diwajibkan memberikan slip preskripsi (surat ubat) kepada para pesakit apabila diminta oleh pesakit.

Isu ini berkait rapat dengan keselamatan pengubatan kerana slip preskripsi yang tidak disaring oleh ahli farmasi adalah satu risiko yang jelas yang boleh memudharatkan pesakit. Ini ditunjukan dalam laporan keselamatan pengubatan oleh KKM yang mana majoriti laporan kesilapan pengubatan dilakukan oleh sektor awam berbanding sektor swasta yang mungkin tidak mengambil endah akan perkara ini.

Inisiatif-inisiatif yang diambil oleh Program Perkhidmatan Farmasi, KKM khususnya dalam program Kenali Ubat Anda, Duta Kenali Ubat Anda dan Duta Prihatin Masyarakat adalah menjurus kepada meningkatkan ilmu pengetahuan pesakit dan pengguna berkaitan penyakit dan pengambilan ubat yang sangat penting bagi rawatan pelbagai jenis penyakit berjangkit dan tidak berjangkit. Adalah diperhatikan orang ramai masih lagi kurang celik kesihatan termasuk pengambilan ubat-ubatan.

Impak paling besar dan paling signifikan yang dihasilkan oleh ahli-ahli farmasi adalah memastikan kepatuhan para pesakit terhadap ubat-ubatan mereka. Hanya dengan kepatuhan inilah kita dapat tahu samada rawatan yang melibatkan ubat-ubatan ini adalah berkesan sepertimana yang diharapkan.

Ketidakpatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan mereka akan merumitkan keadaan dan menjejaskan rawatan terhadap penyakit-penyakit yang mereka alami.

Adalah disimpulkan bahawa peranan ahli-ahli farmasi sebagai pakar ubat dalam menyediakan ubat yang selamat dan berkesan kepada para pesakit serta penglibatan aktif mereka dalam keselamatan pengubatan adalah sangat signifikan demi mendapatkan rawatan yang berkesan untuk para pesakit.

Amrahi Buang ialah presiden Persatuan Farmasi Malaysia.

  • Ini ialah pendapat pendirian penulis atau penerbitan dan tidak semestinya mewakili pandangan CodeBlue.

You may also like