Jerebu: IPU Sri Aman Menghampiri Tahap Darurat

Kualiti Udara di tiga kawasan di Sarawak sangat tidak sihat.

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Sri Aman, Sarawak telah mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berbahaya pada paras 420 setakat jam 10 pagi hari ini.

Paras ini adalah peningkatan drastik daripada 210 dicatatkan semalam pada masa yang sama.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa ia sedia mengisytiharkan keadaan darurat sekiranya IPU melebihi tahap 500, iaitu keadaan yang sangat bahaya.

Dalam pada itu, tiga kawasan di Sarawak telah mencatatkan IPU sangat tidak sihat pada jam yang sama.

Ini adalah kurang daripada data semalam, di mana tujuh kawasan di seluruh Malaysia, termasuk semenanjung dan Sabah, dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.

Tiga kawasan dengan kualiti Udara yang sangat tidak sihat hari ini adalah Kuching, Sarawak (246), Samarahan, Sarawak (219), dan Sarikei, Sarawak (228).

Sejumlah 22 kawasan dilaporkan mempunyai kualiti udara tidak sihat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, kurang daripada 38 kawasan semalam pada jam yang sama.

Manakala, sebanyak 42 kawasan telah dikategorikan di bawah kualiti udara sederhana, iaitu IPU antara 51 – 100.

Sebanyak 1,037 sekolah di 20 kawasan di Sarawak ditutup hari ini akibat keadaan jerebu yang semakin teruk.

You may also like