Pelajar Perubatan Malaysia Di Rusia Tawar Wang Untuk Lulus, Sijil Palsu

Sebahagian pelajar Malaysia membayar wang untuk lulus subjek peperiksaan dan mendapat sijil palsu SSLN.

KUALA LUMPUR, 6 Sept — Sesetengah pelajar jurusan perubatan dari Malaysia yang melanjutkan pelajaran ke Rusia didakwa sanggup membayar RM7,000 hingga RM8,000 untuk lulus satu subjek peperiksaan.

Berita Harian melaporkan bahawa bayaran tersebut dikatakan dibuat kepada pensyarah subjek berkenaan untuk memastikan pelajar tersebut tidak gagal sehingga perlu mengulang semula pengajian, selain memastikan dapat menamatkan kursus dalam tempoh ditetapkan.

Perkara itu juga dikatakan dalam pengetahuan Kedutaan Besar Malaysia di Moscow, menurut siasatan Berita Harian.

“Ada pelajar bukan sahaja tidak layak dari segi akademik, tetapi juga tidak berminat terus belajar. Pernah pegawai kedutaan yang jaga hal ehwal pendidikan terkejut melihat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesetengah pelajar perubatan dari Malaysia.

“Kebanyakan mereka daripada keluarga berkemampuan. Tidak hairanlah ada dakwaan yang sampai ke kedutaan bahawa sesetengah pelajar kita sanggup membayar sehingga RM7,000 atau RM8,000 untuk lulus satu subjek,” seorang pegawai kedutaan dilaporkan berkata.

Berita Harian juga mendedahkan bahawa penerima anugerah akademik tertentu seperti anugerah dekan dan anugerah penyelidikan didakwa dipilih oleh komuniti pelajar terbabit sendiri menerusi undian, berdasarkan populariti dan kemudian diluluskan dekan fakulti.

Selain daripada itu, hasil siasatan BH juga menunjukkan bahawa terdapat sesetengah pihak yang memalsukan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau Non-Objection Certificate (NOC) yang diperlukan pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di universiti luar negara, dijual pada harga sehingga RM8,500.

Biasanya, sebahagian pelajar, terutamanya jurusan perubatan, akan pulang ke Malaysia untuk mengulangi SPM untuk memperbaiki gred mereka, namun sesetengah pelajar yang berkemampuan mengambil jalan pintas untuk membeli sijil palsu tersebut.

Untuk mendapatkan SSLN bagi kursus perubatan, lulusan SPM mesti dapat sekurang-kurangnya gred B dalam subjek Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Kimia.

Wartawan Berita Harian telah menyamar sebagai pelajar dan berinteraksi melalui WhatsApp dengan seorang ejen yang menguruskan kemasukan pelajar Malaysia ke universiti di Russia, dan diberitahu oleh ejen tersebut bahawa dia boleh membantu mendapatkan SSLN dengan bayaran RM8,500, namun boleh dikurangkan jika pemohon tidak berkemampuan.

Ejen tersebut juga telah menawarkan diskaun, malah mungkin SSLN secara percuma sekiranya pemohon memperkenalkan lebih ramai individu lain yang mahukan dokumen berkenaan.

“Jika bersetuju, bayar penuh dahulu sebelum menunggu empat hingga enam bulan untuk dapatkan sijil itu,” kata ejen tersebut kepada wartawan Berita Harian, sambil mendakwa bahawa pihaknya menguruskan kemasukan kira-kira 100 pelajar Malaysia ke universiti di Rusia setiap tahun.

You may also like