Lebih 10 Kedai Nanostix Diserbu KKM

Belum ada undang-undang yang melarang penggunaan rokok elektronik.

KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerbu lebih 10 kedai menjual rokok elektronik jenama Nanostix di ibu negara, Johor, Kuantan, Putrajaya dan Kangar.

Kesemua kedai yang diserbu dimiliki oleh ejen-ejen syarikat Nanostix yang menjual rokok elektronik.

“Setakat ini kita hanya boleh anggarkan lebih 10 buah kedai yang diserbu dan nilai stok yang dirampas berjumlah RM50,000 hingga ke RM200,000,” kata Pengarah Nanostix Innovations Sdn. Bhd., Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman kepada Utusan Malaysia.

Kata Shahabudeen, penjualan rokok elektronik diteruskan seperti biasa kerana masih belum ada undang-undang mengenai penggunaan alat tersebut.

“Bila tidak ada undang-undang rasmi berkaitan penjualan rokok elektronik, peniaga yang juga usahawan Melayu ini meneruskan penjualan mereka seperti biasa.

“Serbuan juga dilakukan tanpa sebarang amaran dan peniaga-peniaga amat terkesan dengan kerugian yang dialami mereka,” ujarnya.

Beliau berharap agar kerajaan dapat bertolak ansur kerana pihak peniaga juga tidak mempunyai masalah untuk membayar cukai jika undang-undang berkaitan digubal.

You may also like