39 Pelajar Pasir Gudang Sesak Nafas, Muntah

Tiada pelajar dirujuk ke hospital.

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Seramai 39 pelajar dari lima buah sekolah di Pasir Gudang, Johor, mengalami sesak nafas dan muntah semalam.

Walau bagaimanapun, Bernama melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata tiada pelajar yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan susulan kerana mereka hanya mendapat rawatan di klinik.

Insiden terbaru melibatkan 30 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, enam pelajar SK Kopok, dan masing-masing seorang pelajar dari SK Kota Masai, SK Pasir Gudang 4 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort.

“Jabatan kesihatan sudah mengambil sampel air kencing pelajar terbabit untuk dianalisis bagi mengesan bahan yang menyebabkan mereka mengalami simptom sesak nafas dan muntah,” beliau dilaporkan berkata dalam satu kenyataan.

“Sehingga hari ini, agensi yang terbabit sentiasa mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa, termasuk pemantauan berterusan kualiti udara di Pasir Gudang.”

Pihak berkuasa masih belum lagi mencari punca masalah kesihatan di Pasir Gudang sejak bulan Jun lepas.

You may also like