Anwar: Jangan Hidang Minuman Dengan Gula Berlebihan

Malaysia mempunyai kadar diabetes yang tertinggi di Asia.

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Anwar Ibrahim menyarankan tempat makan agar tidak menghidangkan minuman-minuman yang mengandungi gula berlebihan.

Presiden PKR dan bakal perdana menteri menggesa rakyat untuk mengurangkan penggunaan gula di dalam makanan dan minuman.

“Sebagaimana kawalan ke atas penggunaan plastik pakai buang, maka kawalan ke atas gula telah patut dipraktikkan.

“Maka kita berharap agar minuman-minuman yang mengandungi gula berlebihan ini tidak lagi dihidangkan kepada orang ramai,” Anwar berkata dalam satu kenyataan.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata bahawa Malaysia mempunyai kadar diabetes yang tertinggi di Asia.

Berdasarkan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, 3.5 juta orang dewasa berumur 18 ke atas di Malaysia menghidap diabetes. Ini merupakan 17.5 peratus daripada populasi dewasa negara ini.

Cukai gula bermula di Malaysia pada 1 Julai lalu, di mana cukai dilaksanakan ke atas impot dan pembuatan minuman bergula. Duti eksais dikenakan atas minuman pekej bergula.

Tetapi, pada masa yang sama, kerajaan Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk meliberalisasikan sektor gula di Malaysia untuk membenarkan perusahaan F&B mengimpot gula, supaya pasaran tidak dikuasai oleh beberapa penapis tempatan. Ini mungkin akan menurunkan kos gula dalam industri perusahaan di Malaysia.

You may also like