Kuala Lipis Alami Malaria, Pertama Dalam Lapan Tahun

Empat kes melibatkan kanak-kanak Orang Asli yang berumur empat hingga 10 tahun.

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Sebanyak 15 kes jangkitan malaria telah dilaporkan dari dua kampung di Kuala Lipis, Pahang, pertama kali di kawasan ini sejak tahun 2011.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes malaria tersebut dilaporkan di Kampung Pagar dan Kampung Serdang di Pos Lenjang, Kuala Lipis, dari 11 Julai hingga hari ini, di mana empat kes melibatkan kanak-kanak Orang Asli yang berumur empat hingga 10 tahun.

“Punca jangkitan sedang disiasat oleh PKD Kuala Lipis kerana kawasan ini tidak melaporkan kes malaria sejak lapan tahun lepas, di mana kes terakhir dilaporkan pada tahun 2011,” Dr Noor Hisham berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Semua kes yang telah didiagnosa dengan malaria jangkitan parasit Plasmodium vivax telah dimasukkan ke hospital untuk diberi rawatan serta dalam keadaan stabil, beliau berkata. Malaria disebabkan oleh parasit Plasmodium yang dibawa oleh nyamuk Anopheles.

“Pihak PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) juga telah menjalankan aktiviti kawalan malaria dengan menjalankan aktiviti semburan racun serangga pada dinding (Indoor Residual Spraying) dan edaran kelambu berubat di lokaliti terlibat. 

“Pada ketika ini, pasukan PKD sedang meneruskan aktiviti pengesanan kes dan aktiviti kawalan vektor.”

You may also like