Kes Denggi Di Selangor Naik Dua Kali Ganda

34 kematian dari denggi direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 6 Julai tahun ini.

KUALA LUMPUR, 12 Julai — Kes denggi di Selangor pada enam bulan pertama tahun ini meningkat 108 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu. 

Utusan Malaysia melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata sebanyak 37,263 kes denggi direkodkan dengan 34 kematian bagi tempoh 1 Januari hingga 6 Julai tahun ini.

“Berbanding bagi tempoh yang sama iaitu sebanyak 19,357 kes dengan 16 kematian. Jumlah itu menunjukkan peningkatan 108 peratus kes dan ini amat serius.

“Peningkatan yang ketara berlaku selepas musim perayaan iaitu pada minggu ke-24 hingga minggu ke-27 masing-masing sebanyak 1,193 kes dan 1,719 kes demam denggi. 

“Situasi ini menunjukkan ketidakprihatinan penduduk Selangor dalam mencegah dan membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” beliau dilaporkan berkata di sidang akhbar dalam majlis pelancaran kempen “Cari dan Musnah: Selangor Bebas Denggi 2019” di Shah Alam hari ini.

Lima daerah di Selangor dilaporkan menjadi lokasi panas iaitu Petaling dengan 62 lokasi, diikuti Hulu Langat (26), Gombak (13), dan Klang serta Hulu Selangor masing-masing lapan lokasi.

You may also like