Ainul Mardhiah Tak Sihat, Tangguh Kepulangan

Doktor tidak benarkan Ainul Mardhiah balik lagi.

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Keluarga Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin membatalkan rancangan mereka untuk pulang ke Malaysia kerana bayi perempuan itu yang menghidap “germ cell tumour” tidak sihat.

Ibu saudara Ainul Mardhiah, Anis Sofiah Ahmad Razak, memberitahu Berita Harian bahawa mereka sepatutnya menaiki penerbangan pada jam 9.35 semalam (waktu United Kingdom), tetapi keluarga bayi berusia 10 bulan itu mungkin terpaksa berada di UK selama dua minggu lagi.

“Abang hanya beritahu, doktor tidak benarkan Ainul balik lagi, tetapi tidak dimaklum punca jangkitan.

“Ainul perlu mengambil ubat antibiotik semula sekurang-kurangnya seminggu, tetapi mereka mungkin akan berada di sana (UK) dua minggu lagi,” Anis Sofiah dilaporkan berkata.

Bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin, menulis di Facebook semalam bahawa mereka sedang membuat persiapan untuk pulang selepas anaknya menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya.

“Buat masa sekarang, disebabkan ainul ini terlalu fragile, doktor minta supaya kurang mendedahkan ainul supaya risiko mendapat infection dapat dikurangkan.

“Walaubagaimana pun, kami sangat berbesar hati dan gembira bila dapat pulang ke tanah air. Malaysia adalah tempat ainul!”

Pembedahan Ainul Mardhiah di sebuah hospital di London, yang dianggar boleh mencecah lebih daripada RM1 juta, dapat dilaksanakan dengan bantuan pelatih pakar bedah Dr Nur Amalina Che Bakri yang dilaporkan berusaha mendapatkan bantuan kenalannya dari kalangan pakar perubatan di UK. 

You may also like