Lelaki Nigeria Didakwa Membunuh Jururawat Siti Kharina

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Seorang lelaki Nigeria didakwa hari ini dengan pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang Siti Kharina Mohd Kamarudin.

Berita Harian melaporkan Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 36, tidak merekodkan sebarang pengakuan di Mahkamah Majistret di Sepang.

Alowonle dituduh membunuh Siti Kharina, 40, di sebuah kondominium di Cyberjaya antara jam 12.41 pagi 9 Mei hingga 2.30 petang pada 15 Mei lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

Siti Kharina, yang hilang sejak 8 Mei, ditemui di unit kondominium sewanya di Cyberjaya pada 15 Mei dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala.

Mahkamah menetapkan 31 Julai untuk sebutan semula kes.

You may also like