Jururawat Hilang Ditemui Dibunuh, Dua Orang Asing Ditahan

Siti Kharina Mohd Kamarudin ditemui dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala.

KUALA LUMPUR, 16 Mei — Polis telah jumpa mayat Ketua Jururawat Hospital Serdang yang ditemui dibunuh di sebuah kondominum di Cyberjaya.

Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, ditemui dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala, selepas mangsa dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu.

“Siasatan awal juga mendapati mayat tersebut adalah Siti Kharina Binti Mohd Kamarudin yang dilaporkan hilang sebelum ini dan siasatan pihak forensik di lokasi kejadian telah menjumpai beberapa keterangan fizikal dan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata dalam satu kenyataan.

Pihak polis berkata lelaki warga Pakistan berumur 38 tahun dan seorang wanita Nigeria berumur 35 tahun telah ditahan di sekitar Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.

Polis kini sedang memburu seorang suspek lelaki warga Nigeria bernama Aliwajuwom Gilbertalowonle untuk membantu siasatan. Lelaki tersebut dikatakan rakan kepada warga Pakistan dan Nigeria yang telah ditahan.

“Ketiga-tiga suspek ini sering berhubung antara satu sama lain. Mereka ialah rakan perniagaan serta memiliki sebuah kedai menjual telefon bimbit di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur,” Noor Azam dilaporkan berkata oleh Berita Harian.

“Polis sedang menjalankan siasatan dari semua aspek. Kita sedang siasat macam mana hubungan mangsa dengan suspek dan bagaimana mereka boleh mengenali antara satu sama lain.”

Noor Azam juga berkata bahawa siasatan awal polis mendapati Siti Kharina mempunyai dua rumah sewa. Mayat mangsa ditemui di sebuah kondominium yang disewanya di Kondominum Third Avenue, Cyberjaya, selepas orang awam melaporkan terdapat darah mengalir keluar dari satu pintu rumah di kondominium tersebut semalam.

“Malah, keluarga dan rakan mangsa juga tidak tahu bahawa mangsa turut menyewa rumah di Kondominium Third Avenue,” kata Noor Azam.

Beliau berkata barang berharga Siti Kharina tidak hilang.

“Polis juga masih menunggu laporan bedah siasat termasuk kemungkinan mangsa dirogol.”

You may also like