KUALA LUMPUR, 15 April — Skim saringan kesihatan Peka B40 akan bermula di seluruh negara pada hari ini.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata penerima yang layak dari kumpulan B40 boleh menjalankan saringan kesihatan secara percuma di klinik perubatan swasta umum (general practitioners, GP) yang sudah berdaftar.
“Menerusi Peka B40, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar, berumur 50 tahun dan ke atas dalam tahun 2019 adalah layak secara automatik untuk menyertai skim ini.
“Ia adalah percuma dan tiada pendaftaran khusus diperlukan,” Dzulkefly berkata dalam sebuah kenyataan semalam.
Menurut Dzulkefly, sehingga 12 April, terdapat 423 klinik GP yang telah berdaftar bagi skim Peka B40 sebagai “Klinik Peka B40”.
Beliau menyeru agar lain-lain klinik GP berdaftar untuk turut menjadi Klinik Peka B40.
“Sebagai permulaan, Peka B40 akan melalui fasa ujian operasi di mana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menilai kelancaran logistik dan mendapatkan maklumbalas daripada semua pemegang taruh yang terlibat,” Dzulkefly berkata.
Selain saringan kesihatan, skim Peka B40 turut memberikan bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser di hospital KKM, dan insentif tambang pengangkutan untuk mendapatkan rawatan di hospital KKM.