Penguatkuasaan Larangan Merokok Ditangguh Hingga Tahun 2020

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu juga mahu peruntukan tambahan untuk perkhidmatan berhenti merokok mQuit.

KUALA LUMPUR, 26 April — Tempoh pendidikan mengenai larangan merokok di tempat makan akan dilanjutkan hingga akhir Disember tahun ini.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada 10 kementerian lain dan satu wakil daripada badan bukan kerajaan juga memutuskan agar peruntukan tambahan dipohon kepada Jemaah Menteri untuk perkhidmatan berhenti merokok mQuit.

“Penangguhan ini dibuat bagi meningkatkan usaha kerajaan untuk membantu perokok berhenti merokok kerana memahami kesukaran perokok untuk menghentikan tabiat ini,” Dzulkefly berkata dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia menetapkan tempoh enam bulan bagi aktiviti pendidikan larangan merokok di kedai makan hingga akhir bulan Jun selepas pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok sejak 1 January lalu.

Menurut Dzulkefly, kajian oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia yang dijalankan antara 1 April hingga 17 April di 173 tempat makan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan 98 peratus tidak menyediakan tempat abu rokok.

Sebanyak 76 peratus tempat makan mempunyai tanda larangan merokok yang jelas. Sebanyak 60 peratus tempat makan tiada aktiviti merokok langsung, manakala 40 peratus tempat makan ada tidak lebih daripada tiga orang merokok.

“Impak positif juga dapat dilihat berkaitan bilangan perokok berdaftar untuk berhenti merokok di laman web www.jomquit.moh.gov.my di mana bilangan berdaftar telah meningkat kepada 580 orang bermula Januari hingga April 2019, berbanding dengan purata 428 orang bagi tahun–tahun sebelumnya,” kata Dzulkefly.

You may also like