PAS Tolak Dekriminalisasi Penggunaan Dadah

Timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dadah perlu terus dijadikan sebagai satu jenayah.

KUALA LUMPUR, 24 Julai — PAS menolak cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dekriminalisasi pemilikan dan penggunaan dadah, sambil berkata isu yang perlu fokus ialah bagaimana untuk merawat penagih dadah.

Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden PAS, bertanya sama ada kaedah untuk merawat penagih dadah adalah dengan terus memberikan orang dadah untuk penggunaan peribadi, atau menjauhkan mereka daripada dadah.

“Adakah langkah kementerian ini cerminan kepada kegagalan usaha pembasmian najis dadah?” Tuan Ibrahim berkata dalam satu kenyataan hari ini.

“Ketagihan dadah boleh merosakkan akal dan imunisasi tubuh. Oleh itu, saya berpendapat dadah perlu diharamkan dan terus dijadikan sebagai satu jenayah. 

“Memberikan peluang untuk mereka memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil tetap akan menyebabkan ketagihan.”

Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, mendesak KKM untuk mencari solusi supaya orang tidak berterusan bergantung kepada dadah, sambil berkata penagih dadah perlu dirawat sama ada dengan kaedah sains atau tradisional.

“Memberikan pemilikan dan penggunaan dadah kepada penagih tidak akan menyelesaikan masalah akar najis dadah.”

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata bulan lepas bahawa walaupun kerajaan Pakatan Harapan berputus untuk dekriminalisasi pemilikan dan penggunaan dadah, pengedaran dadah masih jenayah di bawah undang-undang.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata jenayah-jenayah berkaitan dengan ketagihan dadah akan dikeluarkan daripada pendaftaran di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah Dan Orang Yang Tidak Diingini 1969.

Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 juga akan dipinda untuk memberi definasi baru untuk penagih dan pengguna dadah, di samping mewujudkan kluster penagih dadah di 14 institusi penjara. 

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak berkata jika Akta Dadah Berbahaya 1952 akan dipinda untuk menghapuskan hukuman untuk memberi dadah kepada diri sendiri di bawah Seksyen 15, atau pemilikan dadah di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 12(2).

You may also like