Saringan Komuniti Kesan Kes Covid-19 Tidak Bergejala Di Hulu Langat

Keputusan saringan komuniti positif: negatif adalah sebanyak 1%, seiring dengan saranan WHO.

KUALA LUMPUR, 17 April — Saringan komuniti telah mengenalpasti lima kes positif Covid-19 di Hulu Langat, termasuk empat orang yang tidak bergejala (asymptomatic).

Mentri Besar Selangor Amirudin Shari berkata nisbah keputusan positif: negatif adalah sebanyak 1 peratus dalam 649 sampel yang dikumpul di saringan komuniti pusingan pertama pada 11-12 April di Hulu Langat.

Nisbah tersebut dikatakan konsisten dengan kadar nasional dan seiring dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggesa saringan dipertingkatkan sehingga nisbah 10 peratus dan ke bawah.

Ujian Covid-19 dalam saringan komuniti dilakukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Sungai Ramal dan Dusun Tua.

Keputusan hasil saringan ini telah dihantar kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Crisis Preparedness and Reponse Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan CPRC Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk diambil tindakan seterusnya.

“Saringan komuniti ini disasarkan di lokaliti-lokaliti zon merah di daerah yang telah dikenalpasti hasil analisis data raya Selangor Task Force Covid-19 untuk membantu KKM bagi memutuskan penularan rantaian wabak Covid-19 khusus di Negeri Selangor.

“Kerajaan negeri akan meneruskan saringan ini ke lokaliti-lokaliti zon merah lain dengan matlamat untuk melengkapi usaha yang dilaksanakan KKM dan mengenalpasti golongan berisiko tinggi terutamanya warga emas yang tidak mempunyai gejala (asymptomatic),” kata Amirudin dalam satu kenyataan semalam.

Sebanyak 13 kes baharu Covid-19 dilaporkan di negeri Selangor semalam. Jumlah kes keseluruhan coronavirus di negeri Selangor ialah 1,329, iaitu satu perempat daripada jumlah 5,182 kes di negara.

You may also like