Taktik Seram Hantu Pocong Dan Kuntilanak

Indonesia sudah melaporkan 4,241 kes yang disahkan Covid-19 dan 373 kematian yang berkait.

KUALA LUMPUR, April 14 — Sementara bilangan kes-kes Covid-19 meningkat di Indonesia dengan jumlah kematian yang kian bertambah, banyak daerah di negara tersebut mula mengenakan sekatan ke atas pergerakan penduduk sebagai langkah membanteras wabak penyakit itu.

Kampung Kepuh di Jawa Tengah contohnya, telah mengenakan langkah tersebut bagi melindungi penghuni kawasan itu. Walaubagaimanapun, ia menggunakan “hantu pocong” sebagai penguatkuasa sekatan.

Ketua kampung tersebut, Karno Supadmo, mengatakan kepada The Jakarta Post bahawa taktik menggunakan penunggu pocong tersebut merupakan inisiatif penduduk, yang dilihat secara positif dan bertujuan untuk membanteras penularan virus di kawasan itu.

Mengikut Pak Karno, pocong-pocong tersebut, yang dilakonkan oleh beberapa orang sukarelawan, akan bertugas daripada pukul 8 malam hingga 12 tengah malam, melaksanakan pemeriksaan kad pengenalan dan bertanyakan sebab keluar dari rumah kepada setiap individu yang memasuki perkarangan tersebut.

Pada mulanya, taktik menggunakan pocong-pocong ini kelihatan tidak menjadi kerana ianya mengakibatkan penduduk keluar daripada rumah untuk melihat aksi “menakutkan” tersebut.

Taktik terpaksa diubah dan kini pocong-pocong tersebut muncul pada waktu-waktu yang tidak konsisten dan dengan tiba-tiba, yang bertujuan untuk memberikan kejutan dan perasaan seram.

Laporan susulan menunjukkan pendekatan tersebut mungkin lebih berjaya memberikan kesan dengan pengurangan penduduk yang keluar pada waktu malam.

Penggunaan gimik seram lain seperti kuntilanak juga dilakukan di beberapa kawasan lain di Indonesia.

Negara tersebut sudah melaporkan 4,241 kes yang disahkan Covid-19 dan 373 kematian. Angka-angka ini dijangka akan meningkat mendadak dalam masa yang terdekat.

Penyelidik daripada Universiti Indonesia memberikan jangkaan sebanyak 1.5 juta kes jangkitan dan 140,000 kematian akan berlaku dalam bulan Mei sekiranya tiada sekatan pergerakan dikenakan secara nasional.

You may also like