KKM: Kes Positif Covid-19 Di ICU Melebihi 100

Sebanyak 106 pesakit juga telah didiscaj hari ini.

KUALA LUMPUR, 1 April – Sehingga 12pm hari ini, kes positif Covid-19 yang dirawat di ICU telah mencecah lebih 100 kes, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sehingga kini, seramai 102 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 66 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Dr Noor Hisham Abdullah, ketua pengarah kesihatan, dalam sidang media petang ini.

Selain itu, KKM juga telah mencatatkan bilangan kes discaj harian yang tertinggi sehingga kini, iaitu sebanyak 106 kes. Ini menjadikan jumlah yang sudah pulih dan dibenarkan pulang sebanyak 645 kes.

Sejumlah 142 kes positif baru telah dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,908 kes.”

KKM juga mengumumkan dua kes kematian baru pada hari ini, menjadikan jumlah kematian berkait Covid-19 sebanyak 45 kes.

“Kes kematian ke-44 (kes ke-193) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-115),” Dr Noor Hisham berkata.

“Kes kematian ke-45 (kes ke-1053) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-486).”

Dr Noor Hisham juga menyatakan bahawa sejumlah 2,359 sukarelawan sedang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan dalam pelbagai kategori.

Sukarelawan-sukarelawan tersebut termasuk 65 orang pakar perubatan pelbagai bidang; 159 orang pegawai perubatan; 909 orang jururawat; 220 orang juruteknologi makmal perubatan; 704 orang penolong pegawai perubatan; 106 orang juru X-ray; 56 orang fisioterapi; 70 orang pegawai sains (Mikrobiologi); 7 orang pegawai farmasi; 44 orang penolong pegawai farmasi; 11 orang pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan; 2 orang pegawai psikologi; dan 6 orang kaunselor.

159 pegawai perubatan sukarelawan merangkumi seramai 16 dari hospital swasta, 44 dari klinik swasta, 5 pesara, 55 yang telah berhenti (resigned), 30 dari universiti awam dan 9 dari university swasta.

Selain itu, terdapat 2, 135 paramedik sukarelawan, termasuk 909 jururawat dan 704 penolong pegawai perubatan.

“Dalam masa yang sama, KKM sedang dalam perbincangan dengan agensi pusat untuk segera memperhalusi mekanisma lantikan secara kontrak bagi pengamal profession perubatan yang berhasrat untuk berkhidmat dengan KKM dalam tempoh penularan jangkitan Covid-19 ini,” kata Dr. Noor Hisham.

You may also like