Hospital Kem Pelarian Cox’s Bazar Akan Babitkan Doktor KKM

Operasi hospital berkenaan akan dilanjutkan sehingga Disember 2021.

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Kerajaan Malaysia akan meningkatkan bilangan doktor di hospital medan di Cox’s Bazar, Bangladesh, semasa operasi hospital tersebut yang merawat pelarian Rohingya dilanjutkan untuk dua tahun.

Hospital yang dibina hasil kerjasama kerajaan Malaysia dan Bangladesh itu dikatakan mengalami kekurangan tenaga pengamal perubatan.

“Oleh itu, operasi tahun depan bukan saja babitkan ATM (Angkatan Tentera Malaysia), tapi juga Kementerian Kesihatan kerana kita mengalami kekangan dalam sistem bahagian kesihatan tentera Malaysia,” kata Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong di Dewan Rakyat semalam, menurut Berita Harian.

“Kita juga akan babitkan doktor sukarelawan daripada NGO, namun ingin ditegaskan saiz operasi kita sama.”

Liew juga berkata bahawa sehingga kini, sebanyak 81,698 kes telah dirawat di hospital tersebut.

“Hospital ini juga menjadi medan latihan untuk meningkatkan kesiapsiagaan ATM dalam menghadapi situasi bantuan kemanusiaan dan kesihatan.

“Perkhidmatan oleh petugas di hospital ini bukan saja diberi kepada pelarian Rohingya, tetapi turut dinikmati penduduk tempatan,” katanya.

Menurut Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam sidang parlimen semalam, Jemaah Menteri telah bersetuju pada 2 Oktober lalu untuk melanjutkan operasi hospital berkenaan sehingga selewat-lewatnya pada Disember 2021, iaitu lanjutan maksimum dua tahun.

“Pengoperasian hospital ini akan melibatkan kerjasama dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan NGOs yang berkaitan,” kata beliau.

You may also like