Syed Saddiq: Penagih Dadah Bukan Penjenayah

By CodeBlue | 29 October 2019

Kes penagihan dadah yang melibatkan orang muda tiga kali ganda lebih tinggi daripada kes golongan dewasa pada tahun 2018.

  •  
  • 5
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Menteri Belia Dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menyokong usaha untuk dekriminalisasi penggunaan dadah, sambil berkata penagih dadah tidak patut dipenjarakan.

Beliau berkata Kabinet telah bersetuju dua minggu lalu untuk menubuhkan satu jawatankuasa untuk mempercepatkan proses untuk dekriminalisasi penggunaan dadah yang akan disertai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Syed Saddiq berkata pada tahun lepas, 18,967 orang muda terlibat dalam kes penagihan dadah, tiga kali ganda lebih tinggi daripada kes yang melibatkan golongan dewasa seramai 6,300 orang.

“Isu untuk decriminalise drug addiction merupakan isu yang dekat hati anak muda dan merupakan isu anak muda yang melibatkan kategori kumpulan belia berisiko,” Syed Saddiq berkata dalam sebuah sidang media hari ini.

“Sebab itu kita akan terus memperjuangkan isu ini untuk decriminalise drug addiction dan jalan ke hadapan adalah untuk kita fokus pada usaha rehab, dan bukan untuk mengkategorikan individu ini sebagai penjenayah. Penagih bukan penjenayah.”

Syed Saddiq berkata penagih dadah yang dipenjarakan akan ada rekod jenayah yang akan menyulitkan usaha untuk dapat pekerjaan.

Kebanyakan orang muda yang dipenjarakan untuk penagihan dadah adalah orang miskin kerana mereka tidak mampu untuk membayar bail atau kos guaman.

“Cukuplah anak muda di mana hidup mereka dibinasakan kerana pengaruh dadah. Lebih teruk bukan sahaja kerana pengaruh dadah tetapi akhirnya apabila mereka merupakan penagih, mereka dihukum, mereka dimasukkan ke dalam penjara, mereka ada rekod jenayah, apabila keluar, tidak dapat pekerjaan, tidak ditempat ke dalam masyarakat, diasingkan, diskriminasikan, dan akhirnya kembali terjerumus ke dalam masalah dadah.

“Lebih baik kita bantu, jika dibandingkan dengan cara untuk menghukum.”

  •  
  • 5
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

You may also like