Exco: Najis Merpati Mungkin Punca Masalah Kesihatan Murid Pasir Gudang

Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pelajar yang menghadapi masalah kesihatan di SK Tanjung Puteri Resort merupakan kes yang berulang.

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Pencemaran najis dan hama burung merpati di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort di Pasir Gudang mungkin antara punca masalah kesihatan murid, seorang exco kerajaan Johor berkata. 

Sinar Harian melaporkan Exco Kesihatan Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata masalah najis dan hama burung merpati di bahagian atas siling sekolah tersebut perlu diatasi segera.

“Pencemaran bau dari najis ini mungkin antara faktor kita lihat sekolah ini setiap hari ada saja murid menghadapi simptom sesak nafas dan juga muntah-muntah.

“Kita minta pihak Kementerian Pendidikan segera tangani isu ini kerana kita nak pastikan pelajar tidak berdepan masalah kesihatan di sekolah,” beliau dilaporkan berkata kepada pemberita selepas melawat sekolah tersebut hari ini.

Mohd Khuzzan berkata pelajar yang menghadapi masalah kesihatan di sekolah tersebut merupakan kes yang berulang.

Sinar Harian melaporkan najis burung bersepah di atas lantai di kelas di tingkat atas. Siling di dalam bilik darjah itu juga terbuka di sesetengah tempat dan terdapat kesan najis burung.

Pihak berkuasa masih belum lagi mencari punca masalah kesihatan sesak nafas dan muntah di Pasir Gudang sejak bulan Jun lepas yang telah membabitkan lebih daripada 1,000 orang, kebanyakannya pelajar sekolah.

You may also like