Hampir 600 Bayi Dibuang Tahun 2014 Hingga 2018

Hannah Yeoh berkata 60% bayi yang ditemui meninggal dunia.

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Polis merekodkan sejumlah 577 kes pembuangan bayi dari tahun 2014 hingga 2018, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata hari ini.

Berita Harian melaporkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat berkata antara punca pembuangan bayi adalah kehamilan remaja dan kehamilan luar nikah.

“Kementerian mengambil langkah proaktif dengan merangka strategi advokasi, pencegahan dan menjalankan program kesedaran awam khusus kepada golongan remaja mengenai kesihatan reproduktif mereka.

“Kementerian dalam usaha untuk melaksanakan pemetaan lokaliti dan campur tangan strategik bagi kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas kes pembuangan bayi melalui kerjasama dengan polis,” beliau dilaporkan berkata di majlis pelancaran Kempen Mencegah Pembuangan Bayi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil.

Program kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Plus Malaysia Berhad (PLUS) merangkumi inisiatif menampal pelekat di pintu tandas di 22 R&R PLUS untuk memberitahu wanita dengan kehamilan tidak dikehendaki untuk hubungi Talian Kasih 15999 dan dapatkan bantuan di rumah perlindungan untuk bayi dan diri mereka.

Timbalan Menteri Hannah Yeoh berkata kawasan tertinggi berlaku kes pembuangan bayi bagi tempoh 2010 hingga 2018 adalah di kawasan perumahan dengan 266 kes, tandas (108), dan tempat pembuangan sampah (89).

Sejak Januari hingga Mei lalu, sejumlah 65 kes pembuangan bayi direkodkan, dengan Johor mencatatkan kes tertinggi iaitu 13 kes, Selangor (11) dan Kuala Lumpur (tujuh), menurut Hannah.

Walau bagaimanapun, bagi tempoh 2010 hingga 2018, negeri tertinggi kes pembuangan bayi adalah di Selangor, diikuti Sabah dan Johor.

Hannah juga berkata 60 peratus bayi yang ditemui meninggal dunia.

You may also like