Beguk Semakin Menular Di Terengganu

114 kes dilaporkan setakat ini.

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Bernama melaporkan bahawa penyakit beguk atau mumps semakin menular di Terengganu.

Dalam laporan tersebut, Kesihatan Negeri membandingkan data semasa dengan tahun lepas, yang menunjukkan peningkatan yang signifikan.

Dalam tempoh empat bulan pertama 2019, 114 kes beguk dilaporkan. Ini dibandingkan dengan 118 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Penyakit tersebut didapati menular di beberapa buah sekolah kerajaan, sekolah pondok, madrasah dan rumah persendirian.

Beberapa orang pelajar di sebuah sekolah menengah berasrama di Kuala Terengganu didapati dijangkiti dan terpaksa dikuarantin. Kuala Terengganu mencatatkan angka tertinggi dengan empat kes beguk, manakala Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun masing-masing melaporkan satu kes.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Mohd Jusoh menyarankan supaya pesakit mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan segera mengasingkan mereka daripada tempat awam. Ini untuk memastikan jangkitan tidak merebak dan dapat dikawal.

Beliau juga menasihati agar ibu bapa memastikan anak-anak mereka divaksin pada umur 9 dan 12 bulan bagi langkah pencegahan.

You may also like