KKM Terbuka Kepada Rawatan Alternatif Ketum

Kajian USM menunjukkan manfaat ketum untuk merawat masalah ketagihan dadah jenis opiat.

KUALA LUMPUR, 16 April — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia mempertimbangkan rawatan alternatif seperti ketum untuk mengubati masalah ketagihan dadah jenis opiat.

Berita Harian melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata walau bagaimanapun, setakat ini, tiada permohonan daripada mana-mana penyelidik mahupun kelulusan dibuat berhubung penggunaan ketum sebagai rawatan alternatif.

“Kita bersedia meneroka pilihan yang ada sekiranya memang ada potensi atau kajian menyeluruh membuktikan mengenai perkara itu sebelum ia boleh dipertimbangkan,” Dr Boon Chye memberitahu Berita Harian.

Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan Universiti Sains Malaysia (USM) dilaporkan berkata kajiannya sejak 2010 telah membuktikan bahawa tumbuhan ketum boleh menjadi komponen pengurangan kemudaratan terhadap opiat.

Dr Boon Chye berkata kajian tersebut masih berada di tingkat permulaan dan kajian yang lebih terperinci serta menyeluruh masih diperlukan untuk membuktikan keupayaan daun ketum sebagai rawatan alternatif.

“Jika ada saintis yang berminat atau sedang melakukan kajian (terhadap ketum), kita tiada halangan untuk mereka kerana sama ada bahan itu boleh dijadikan rawatan alternatif, ia memerlukan penyelidikan selanjutnya.”

You may also like