Wanita Kuching Mati Dari Rabies, Timbalan Ketua Menteri Mahu Siasatan

Douglas Uggah Embas menuduh doktor klinik komuniti tidak mengikut SOP untuk merujuk mangsa ke klinik rabies.

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Seorang wanita dari Kuching, Sarawak, meninggal dunia daripada jangkitan rabies selepas beliau mendapat rawatan di sebuah klinik komuniti.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata wanita berumur 61 tahun itu dari Pending, Kuching, tidak mendapatkan rawatan susulan seperti yang ditetapkan selepas pergi ke klinik komuniti pada 29 April lepas kerana berpendapat bahawa luka pada jarinya, diperolehi daripada gigitan oleh seekor anjing liar pada hari itu, telah sembuh.

Tetapi beliau mula mengalami sakit pada 6 Jun dan kemudiannya meninggal dunia semasa dalam rawatan di wad Hospital Umum Sarawak pada 12 Jun.

“Dengan pengesahan ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 12 Jun 2019 adalah 19 kes; termasuk 18 kematian.

“Daripada 19 kes tersebut, tiga kes dilaporkan pada tahun 2019,” Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam satu kenyataan.

The Malaysian Insight melaporkan semalam Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas menyarankan KKM untuk menyiasat doktor yang telah merawat mangsa rabies Sarawak ke-19 itu.

Beliau, yang mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Bencana di Sarawak, menuduh doktor tersebut tidak mengikut proses operasi standard untuk merujuk mangsa ke klinik rabies pada masa wabak di negeri Sarawak.

“Kecuaian adalah sangat serius dan tidak sepatutnya berlaku. Ia adalah mustahak untuk para doktor mengikut SOP,” Uggah dilaporkan berkata.

You may also like