Rintihan Seorang PPKP U29 Kontrak Bukan Tajaan KKM

Setelah beberapa orang penting telah isukan perkara berkaitan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran U29 kontrak bukan tajaan KKM di sidang Parlimen, keputusan yang diberikan oleh KKM masih samar.

Di bawah adalah antara perkara yang perlu dibangkitkan kembali setelah mendapat respon yang tidak nampak positif dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Anggaran PPKP U29 kontrak bukan tajaan Latihan KKM (Outsource) yang masih ada dalam sistem KKM, yang menjawat jawatan PPKP/ Inspektor Kesihatan, lebih kurang seramai 400 orang, tidak termasuk yang telah ditamatkan kontrak baru-baru ini.

Purata perkhidmatan mereka ini adalah lebih kurang tiga tahun berkhidmat. Ada yang mula diserap pada penghujung 2020, dan batch terakhir pada Februari 2022.

Sebelas orang telah pun ditamatkan kontrak pada bulan Januari dan Februari yang lepas, dan akan ada lagi yang bakal ditamatkan pada bulan Jun, Julai, dan seterusnya nanti.

Terdapat lebih kurang lapan hinga sembilan batch kemasukan IK Kontrak Outsource ke dalam sistem KKM bagi membantu Covid-19 sewaktu pandemic.

Setelah Covid-19 semakin reda, tugasan mereka mula diserap ke unit-unit asal di pejabat-pejabat kesihatan daerah seperti unit UIP, CDC, TB, HIV, dan vektor.

Penyerapan ini digandingkan dengan IK berjawatan tetap dan juga IK kontrak tajaan KKM. Persediaan ini dibuat sekiranya IK Outsource ditamatkan. Perkhidmatan tidak terlalu terjejas, oleh kerana ada pegawai lain yang sedia ada dalam unit berkenaan.

Kami memohon agar perkhidmatan mereka disambung dan diteruskan. Walaupun mereka tidak diserap tetap dalam masa terdekat, tapi sambungan kerja kontrak amat diperlukan, dengan situasi ekonomi sekarang yang sangat meruncing.

Setelah beberapa orang penting telah isukan perkara berkaitan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran U29 kontrak bukan tajaan KKM di sidang Parlimen, keputusan yang diberikan oleh KKM masih samar.

Adakah mereka ini masih relevan atau tidak di KKM? Persoalan demi persoalan telah timbul, dan memberikan satu gambaran di mana PPKP U29 kontrak bukan tajaan ini tidak diperlukan lagi dalam sistem pentadbiran KKM.

Ke mana arah mereka selepas ini? Dengan umat Islam bakal menyambut bulan Ramadan dan sebulan lagi akan menyambut Syawal bakal menjelma, beginikan cara KKM menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh staf mereka sendiri? 

CodeBlue menyiarkan surat ini tanpa nama oleh sebab penjawat awam tidak dibenarkan untuk menulis kepada pihak media. 

  • Ini adalah pendapat peribadi penulis atau penerbitan dan tidak semestinya mewakili pendapat pihak CodeBlue.

You may also like