Peranan Penting Pihak Pengamal Perubatan Swasta Dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan — CITF

Keputusan untuk menghentikan penglibatan general practitioner (GP) bagi sementara waktu telah dibuat setelah meneliti pelbagai faktor, iaitu kapasti PPV, jumlah vaksin, bekalan vaksin serta bilangan penduduk yang masih perlu diimunisasi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengambil maklum akan polemik berkenaan penglibatan pengamal perubatan am swasta (General Practitioner atau GP) yang dilaporkan di media massa. Selaku dua kementerian yang telah ditugaskan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kami ingin menjelaskan mengenai perkara ini untuk tidak disalah erti oleh masyarakat.

Sebagai latar belakang, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat di bawah KKM yang terlibat bagi fasa dua dan tiga PICK serta ditugaskan untuk menyelaras penglibatan pengamal perubatan swasta (private medical practitioner) di bawah PICK telah memaklumkan bahawa tiada lagi janji temu yang akan diberikan kepada GP di Lembah Klang buat masa ini.

KKM dan MOSTI ingin menjelaskan bahawa situasi ini adalah untuk tempoh sementara dan sejajar dengan cara PICK dilaksanakan, iaitu dengan mengusahakan agar kadar vaksinasi dicatatkan pada kadar tinggi secepat yang mungkin. Kadar vaksinasi ini kemudiannya akan menurun secara berperingkat apabila semakin ramai menerima suntikan vaksin Covid-19.

Penglibatan GP telah bermula sejak Mei 2021 apabila ProtectHealth mempelawa GP untuk turut serta dalam PICK. Untuk makluman, sehingga kini, 1,688 daripada lebih kurang 7,000 GP di seluruh Malaysia adalah terlibat dalam PICK.

Pada Ogos 24, daripada 32,212,527 dos vaksinasi yang diberikan di seluruh negara di bawah PICK, hampir 1,087,813 juta dos telah diberikan oleh GP. Jumlah ini merupakan 3.4 peratus daripada keseluruhan vaksin yang diberi di bawah PICK.

Selain GP, ​​terdapat 471 organisasi lain yang terdiri daripada hospital swasta, tempat persendirian dan industri yang terlibat dalam PICK.

Untuk makluman, terdapat pelbagai jenis PPV yang melibatkan pengamal perubatan swasta iaitu PPV Pengamal Am, GPV Klinik Pakar, PPV Hospital Swasta, PPV Pusat Jagaan Ambulatori, PPV Integrasi, PPV Industri dan usaha-usaha program jangkauan oleh GP serta NGO.

Vaksinasi di semua PPV Integrasi juga adalah dikendalikan oleh pengamal perubatan swasta. Misalnya PPV Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang mempunyai kapasiti harian sebanyak 23,000 dos suntikan dikendalikan oleh lapan Organisasi Penjagaan Kesihatan (Health Care Organiser atau HCO), melibatkan lebih 576 petugas serta 192 penyuntik sehari, iaitu lebih kurang 24 penyuntik bagi setiap HCO.

Beberapa PPV juga yang pada mulanya dikendalikan oleh KKM, telah diambil alih oleh pengamal perubatan swasta. Contohnya, di PPV Sunway Pyramid Convention Centre, sebanyak 52,451 dos telah diberikan sewaktu KKM mengendalikan PPV tersebut bermula 26 April 2021.

Angka ini meningkat ke sejumlah 233,278 dos pada 23 Ogos 2021, sepanjang pengamal perubatan swasta mengambil alih bermula 21 Jun 2021. 

Di Lembah Klang, sebanyak 438,812 dos atau 3.6 peratus daripada keseluruhan jumlah dos telah dikendalikan oleh 760 GP daripada jumlah pemberian vaksin Covid-19.

Pada masa yang sama, terdapat 54 PPV yang dikendalikan oleh HCO, di mana 45 daripada mereka ini terdiri daripada konsortium GP, rangkaian klinik swasta, hospital swasta dan hospital universiti.

Penglibatan GP telah menyumbang kepada kejayaan Operasi Lonjakan Kapasiti baru-baru ini yang telah menyaksikan sebahagian besar penduduk Lembah Klang divaksinasi.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan vaksinasi penduduk di Lembah Klang telah pun selesai dilaksanakan dengan catatan 109.6 peratus telah menerima vaksinasi dos pertama mereka sementara sekurang-kurangnya 86 peratus telah menyelesaikan dos kedua.

Jumlah yang melebihi 100 peratus dos pertama ini dipercayai berpunca daripada vaksinasi terhadap pekerja warga asing dan penduduk di luar Lembah Klang yang telah mendaftar dan walk-in ke PPV di Lembah Klang.

Sehubungan itu, keputusan untuk menghentikan penglibatan GP bagi sementara waktu telah dibuat setelah meneliti pelbagai faktor seperti data di atas iaitu kapasti PPV, jumlah vaksin, bekalan vaksin serta bilangan penduduk yang masih perlu diimunisasi.

Kami mengakui bahawa tinjauan rambang menunjukkan bahawa masih ada lagi di Lembah Klang yang masih belum disuntik vaksin. Begitu juga dengan pendaftaran baharu untuk PICK yang masih diterima melalui MySejahtera.

Untuk makluman, kebanyakan daripada pendaftaran baharu ini ialah daripada warga asing, menyebabkan kami perlu memastikan bahawa satu susunan pendekatan sementara diambil kira demi kelancaran PICK.

Antaranya, kami memberi penekanan kepada aturan logistik dan operasi yang cekap. Begitu juga dengan skala dan kelajuan pelaksanaan vaksinasi di Lembah Klang, terutamanya mempertimbangkan keperluan untuk meneruskan momentum kawalan pandemik yang disaksikan di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti.

Menjadi pertimbangan kami juga ialah keperluan PPV yang digunakan untuk warga asing mempunyai kemudahan tertentu seperti papan tanda dalam berbagai bahasa, penterjemah dan petugas yang lebih berpengalaman dalam mengendalikan warganegara asing.

Penglibatan GP di negeri-negeri selain di Lembah Klang berjalan seperti biasa buat masa ini. Untuk masa hadapan, keperluan seperti dos penggalak, vaksinasi remaja (umur 12-17 tahun) serta vaksinasi berterusan untuk pendaftar baru adalah di bawah KKM.

Pengoperasian keperluan ini memerlukan perbincangan teliti, termasuklah menerima pandangan pakar untuk digubal menjadi polisi dengan kelulusan di pelbagai peringkat.

Pendek kata, pengumuman penglibatan GP dan pihak yang lain akan diputuskan sejajar dengan tatacara yang akan diatur untuk keperluan ini. 

Oleh itu, kami ingin menyeru GP, terutamanya di Lembah Klang untuk terus teguh bersama kami dalam menjayakan PICK. Kami percaya, sekiranya gandingan yang kita saksikan selama ini terus diperkukuhkan, perjuangan memerangi Covid-19 akan pastinya menghasilkan satu kejayaan demi negara.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like