Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan: Satu Revolusi Dan Solusi — Dr Ahamad Hussain Shaik Mohamed

Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan perlu diwujudkan sebagai satu revolusi dan solusi yang tuntas.

Baru baru ini kita digemparkan dengan gerakan #HartalDoktorKontrak yang tular di media sosial yang digerakan oleh doktor-doktor kontrak di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tuntutan mereka jelas yakni memberikan ultimatum kepada kerajaan untuk menyelesaikan isu doktor kontrak termasuk menyerap kesemua 23,000 doktor kontrak sebagai pegawai tetap dan memberi  hitam putih kriteria kelayakan untuk diserap menjadi pegawai tetap ataupun berdepan dengan Hartal ataupun mogok oleh doktor kontrak pada Julai 26, 2021.

Ini jelas ialah manifestasi kekecewaan mereka kepada sistem dwistandard, berat sebelah dan menekan pegawai perubatan kontrak sejak ia dilaksanakan bermula Disember 2016.  

Sebagaimana tulisan artikel saya di laman sesawang CodeBlue bertarikh Julai 20, 2020, sistem doktor perubatan kontrak ini bermula pada akhir 2016.

Pada Oktober 21, 2016, Perdana Menteri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan, telah membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat. Di dalam poin ke 78 ketika membicarakan isu khidmat bakti penjawat awam, Najib telah mengumumkan pelantikan secara kontrak kumpulan pertama graduan perubatan, pergigian dan farmasi selewat-lewatnya Disember 2016.

Berikut ialah petikan ucapan beliau: 

“Kesembilan: Kerana kekangan jawatan tetap, kerajaan mengambil keputusan melantik  secara kontrak kumpulan pertama graduan perubatan, pergigian dan farmasi selewat-lewatnya Disember 2016. Untuk makluman, hampir 2,600 doktor yang sebelum ini tidak dapat penempatan housemanship di mana-mana hospital, kini boleh menjalani housemanship secara kontrak. Harapnya, berita ini akan membawa khabar gembira kepada mereka dan keluarga.”

Oleh yang demikian, sistem pelantikan secara kontrak pegawai perubatan telah bermula sejak Disember 2016, bertujuan untuk mempercepatkan tempoh menunggu tempoh latihan siswazah bagi graduan perubatan.

Namun, jelas sistem kontrak ini yang pada mulanya mungkin  kelihatan mencapai sasaran asal iaitu mengurangkan tempoh menunggu latihan siswazah, akhirnya  gagal sama sekali kerana bukan sahaja tempoh menunggu itu gagal dikurangkan malahan masalah lain mula muncul, terutamanya isu kebajikan doktor kontrak termasuk isu cuti khas, isu tangga gaji  dan isu melanjutkan pelajaran ke bidang kepakaran.

Malah menurut kenyataan Menteri Kesihatan pada Jun 23, 2020, hanya sejumlah 789 daripada 23,077, iaitu sekitar 3.4 peratus dari kesemua pegawai perubatan kontrak yang diserap menjadi tetap.

Ini nyata satu jumlah yang sangat rendah jika dibandingkan dengan keperluan kesihatan semasa, terutamanya ketika pandemik Covid-19 ini. 

Nostalgia Sistem Zaman British 

Sebagaimana kita sedia maklum, sistem perkhidmatan awam kita terbahagi kepada tiga entiti iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.

Ketiga tiga entiti ini mempunyai fungsi yang seolah-olah sama. Contohnya, fungsi SPA ialah melantik, mengesahkan dalam perkhidmatan, kemasukan  dalam jawatan berpencen, menaikkan pangkat, menukar dan menjalankan kawalan tatatertib, manakala fungsi JPA termasuk menentukan peranan sektor awam, menentukan saiz organisasi agensi awam, menentukan keperluan dan pembangunan sumber manusia, manakala kementerian dan agensi berkaitan akan mengambil individu bekerja setelah melalui JPA dan SPA.

Fungsi JPA dan SPA seolah-olah sama, malah pernah dicadangkan sendiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan  Awam Borhan Dolah, ketika sesi ‘townhall’ sempena Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam pada September 4, 2019 untuk menyatukan JPA dan SPA, dengan memberikan contoh di Thailand, di mana ia hanya mempunyai Public Commission of Thailand untuk hal-ehwal sektor awam. 

“Memang ada dalam perancangan untuk jadikan JPA dan SPA satu organisasi. Cuma di Malaysia, kita banyak bernostalgia kerana JPA wujud lebih dulu dari SPA sejak zaman British lagi,” katanya pada sesi berkenaan.

Apabila terdapat entiti berbeza dengan fungsi yang hampir sama, ini memberikan kekeliruan jelas kepada penjawat awam, terutamanya berkaitan isu doktor kontrak ini.

Mengambil contoh maklum balas emel kepada Gerakan Hartal Doktor Kontrak oleh Zainal Rahim Seman, Pengerusi SPA pada Julai 1, 2021, SPA mengatakan mereka tidak pernah mengenepikan mana-mana jawatan Pegawai Perubatan untuk menjawat jawatan tetap.

Malah mereka difahamkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bahawa KKM tiada jawatan tetap untuk dipertimbangkan pada waktu ini disebabkan JPA tidak memberikan sebarang kelulusan untuk jawatan tetap.

Dinyatakan juga di dalam emel berkenaan bahawasanya diingatkan bahawa SPA tidak boleh melantik mana mana pegawai perubatan kontrak jika tiada permohonan dari KKM.

KKM pula tidak boleh mengemukakan permohonan jika JPA tidak meluluskan apa-apa jawatan tetap dan tiada waran perjawatan.  

Oleh itu, jelas bahawa pegawai perubatan kontrak, malah mungkin sebarang pegawai kontrak dijadikan bola tanggung, apabila diutarakan isu diserap menjadi tetap, kerana tiga entiti ini saling salah-menyalah dan tuding-menuding sesama sendiri.  

Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan: Satu Solusi 

Mengambil preseden dari penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran pada Januari 1, 1974, yang berfungsi sebagai Pihak Berkuasa Melantik (PBM), bagi anggota perkhidmatan pendidikan dalam urusan melantik, pengesahan dalam perkhidmatan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap, atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran pelantikan/pertukaran tetap perkhidmatan dan kawalan tatatertib, dicadangkan satu suruhanjaya yang sama ditubuhkan untuk sistem kesihatan dengan nama Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan (SPK).  

Ini bukanlah kali pertama idea sebegini ditimbulkan. Pelbagai pihak telah memberikan  cadangan yang serupa seperti Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia pada November 22, 2019, lajnah kesihatan Parti Islam Semalaysia (PAS) pada Disember 28, 2019, dan Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.

Malah, terdapat cadangan sendiri oleh bekas Menteri Kesihatan, Dr S. Subramaniam pada September 18, 2017, untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi menjaga hal ehwal kebajikan professional kesihatan.

Katanya, perkara berkenaan pernah dibincangkan dengan SPA dan JPA untuk mengeluarkan pengamal perubatan daripada tangga penjawat awam, tetapi tidak mendapat sokongan dan kelulusan daripada kerajaan.

Malah, beliau juga mengambil maklum cadangan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi, agar skim dan struktur gaji professional kesihatan disemak semula bagi mengelak masalah kehilangan tenaga mahir ke luar negara.

Agak malang bagi sistem kesihatan kita jika pihak kerajaan sendiri gagal mengambil maklum cadangan pihak kerajaan yakni Timbalan  Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan. 

Mengapa perlunya satu lagi entiti berasingan? Dengan adanya satu suruhanjaya khas berkaitan kesihatan kesemua isu, termasuk kolej perubatan, kejururawatan dan kesihatan awam, pelantikan sementara, tetap dan “gazettement” ke pakar, fasiliti kesihatan dan fi, serta keperluan kewangan dan jumlah tenaga kerja.

Satu tragedi untuk membiarkan isu-isu berkaitan kesihatan diberikan kepada bukan ahlinya, termasuk JPA dan SPA yang agak keras dan tidak fleksibel, terutamanya berkaitan jumlah perjawatan. 

Ahli Suruhanjaya 

Kesemua ahli suruhanjaya yang dicadangkan ini mestilah dianggotai oleh professional kesihatan, termasuk doctor, jururawat, pembantu pegawai perubatan, pegawai perawatan kesihatan, juru X-ray, pembantu makmal dan wakil dari syarikat konsesi pembersihan.

Suruhanjaya ini boleh dipengerusikan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan tidak boleh sama sekali diganggu-gugat oleh ahli politik. 

Kolej Perubatan, Kejururawatan Dan Kesihatan Awam 

Berkaitan isu ini, pelbagai pihak telah mengutarakan kebimbangan tentang lambakan graduan perubatan sejak awal tahun 2010, hingga menjadi punca sebenar isu pegawai perubatan doktor kontrak.

Oleh itu, dicadangkan agar kesemua kolej perubatan yang disenaraikan dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 disemak dari tahun ke tahun untuk memastikan kualiti mereka terjamin.

Malah, mungkin langkah lebih drastik ialah mengurangkan bilangan fakulti perubatan  dalam jadual berkenaan sekaligus mengurangkan jumlah graduan perubatan. Ini juga seharusnya terpakai kepada kolej kejururawatan dan kesihatan awam.  

Pelantikan Sementara, Tetap Dan “Gazettement” Ke Pakar 

Isu ini yang hangat diperdebatkan ketika gerakan #HartalDoktorKontrak ini muncul. 

Seharusnya suruhanjaya ini dapat memastikan jumlah sebenar yang dilantik sementara, dan  jumlah sebenarnya yang diperlukan untuk menampung keperluan kesihatan awam di Malaysia. 

Setiap tahun, data ini perlu dikeluarkan sebagaimana saranan panelis ketika forum anjuran Health Empowerment and Reform Team (HEART) tempoh hari.

Jumlah doktor yang dilantik, yang keluar dari perkhidmatan, dan jumlah yang diperlukan per populasi harus dinyatakan dengan spesifik.

Dicadangkan juga agar jumlah doctor ditempatkan di daerah atau negeri tertentu ialah berdasarkan kapasiti penduduk di kawasan berkenaan, agar tiada wujud lambakan doctor di kawasan tertentu, tetapi tidak mencapai jumlah pesakit yang perlu dirawati.  

Jika sistem kontrak ini mahu diteruskan juga, menjadi tanggungjawab suruhanjaya ini, jugalaha untuk memastikan satu pekeliling tentang kriteria pemilihan menjadi pegawai tetap dikeluarkan, dan sesiapa yang mencapai kriteria berkenaan layak dilantik, tanpa mengambil kira isu perjawatan tetap, kerana jika tidak, negara akan kehilangan doktor-doktor berkualiti. 

Fasiliti Kesihatan Dan Fi 

Suruhanjaya ini perlu berperanan untuk menyemak keperluan untuk mewujudkan fasiliti kesihatan baru untuk menampung keperluan penduduk. Ini termasuk keperluan untuk menghasilkan hospital dan klinik kesihatan. 

Berkenaan fi awam iaitu caj RM1 untuk perkhidmatan kesihatan, ini seharusnya dikaji untuk menampung keperluan perkhidmatan. Caj serendah ini ketika zaman ini ialah jauh tersangat  murah jika dibandingkan dengan servis yang diberi.

Bukanlah mahu menekan rakyat dengan peningkatan kos rawatan, namun seharusnya subsidi ini diberi kepada golongan bersasar.  Contohnya, mungkin kesemua golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) diberikan kad identiti tertentu yang menunjukkan mereka ini golongan B40, dan mereka hanya perlu tunjukkan kad itu sahaja untuk menerima rawatan percuma di fasiliti kesihatan awam. 

Namun, untuk yang tiada kad berkenaan mungkin caj sekitar RM5 dan RM10 boleh dikenakan untuk meningkatkan hasil kewangan KKM. 

Keperluan Kewangan Dan Tenaga Kerja 

Suruhanjaya ini perlu menyemak keperluan kewangan oleh system kesihatan awam kita dan memberikan angka sebenar kepada Perbendaharaan untuk dikaji.  

Berdasarkan laman sesawang “data.worldbank”, Malaysia hanya membelanjakan sekitar 3.76 peratus dari Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) untuk sektor kesihatan.

Bajet ini harus ditingkatkan, dan menjadi tugas suruhanjaya untuk menasihati Perbendaharaan untuk menampung kos kesihatan Malaysia.  

Menurut Laporan Audit Negara 2018 Siri 1, KKM mengalami kekurangan perjawatan iaitu antara 11.6 hingga 53.1 peratus, berbanding bilangan perjawatan diperlukan berdasarkan pengiraan “Workload Indicators of Staffing Need (WISN) 2010”.

Laporan itu turut menyebut kekurangan perjawatan bagi pakar kecemasan adalah antara 75.6 hingga 79.5 peratus, pegawai perubatan antara 41.2 hingga 64.6 peratus, penolong pegawai perubatan antara 2.6 hingga 33.9 peratus, dan  jururawat terlatih antara 17.4 hingga 67.1 peratus.

Laporan berkenaaan turut mengesyorkan kementerian diberikan perjawatan tambahan bagi mengatasi masalah kekurangan petugas  kesihatan termasuk pakar kecemasan berbanding peningkatan beban kerja. 

Laporan ini jelas membuktikan bahawa KKM kekurangan staf, kekurangan bajet malah staf sedia ada diminta kerja lebih dari masa kerana masalah sumber manusia.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab suruhanjaya untuk menyemak keperluan kewangan dan tenaga kerja dari tahun ke tahun agar servis yang diberikan lebih berkualiti. 

Konklusi 

Konklusinya, sistem kesihatan kita memerlukan “overhaul” untuk merevolusikan  penyampaian servis kepada rakyat dan menjaga kebajikan petugas kesihatan.

Pandemik Covid-19 telah mengajar kita bahawa sistem kesihatan kita perlu diberi nafas baru agar dapat berdaya tahan, bukan sahaja ketika pandemik, malah bukan pandemik.

Sekali lagi, saya tegaskan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan perlu diwujudkan sebagai satu revolusi dan solusi yang  tuntas. 

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like