Isu Pegawai Perubatan Kontrak — Dr Ahamad Hussain Shaik Mohamed

Perbezaan tangga gaji dan perlanjutan pelajaran ke peringkat pakar memperlihatkan kesan negatif besar terhadap sistem kontrak ini.

Pada 21 Oktober 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, telah membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat. Di dalam poin ke 78 ketika membicarakan isu khidmat bakti penjawat awam, Datuk Seri Najib telah mengumumkan pelantikan secara kontrak kumpulan pertama graduan perubatan, pergigian dan farmasi selewat-lewatnya Disember 2016. Berikut ialah petikan ucapan beliau:

“Kesembilan: Kerana kekangan jawatan tetap, Kerajaan mengambil keputusan melantik secara kontrak kumpulan pertama graduan perubatan, pergigian dan farmasi selewat-lewatnya Disember 2016. Untuk makluman, hampir 2,600 doktor yang sebelum ini tidak dapat penempatan housemanship di mana-mana hospital, kini boleh menjalani housemanship secara kontrak. Harapnya, berita ini akan membawa khabar gembira kepada mereka dan keluarga.”

Oleh yang demikian, sistem pelantikan secara kontrak pegawai perubatan telah bermula sejak Disember 2016, bertujuan untuk mempercepatkan tempoh menunggu tempoh latihan siswazah bagi graduan perubatan.

Kontrak pertama yang ditawarkan oleh Pihak Kerajaan kepada graduan perubatan ialah selama 3 tahun iaitu 2 tahun latihan siswazah dan tambahan 1 tahun jika berlaku perlanjutan tempoh latihan akibat sebab seba seperti kompetensi, kesihatan atau bersalin. Walau bagaimanapun terdapat beberapa isu berbangkit berkenaan tawaran kontrak kerajaan ini.

Isu Tangga Gaji

Tangga gaji yang ditawarkan ketika kontrak pertama ialah UD41. Ini ialah sebagaimana kebiasaan untuk semua pegawai perubatan siswazah, termasuk lantikan tetap. Namun isu timbul apabila pegawai perubatan berjaya menamatkan latihan siswazah dalam tempoh dua tahun. Sebelum ini, ketika pegawai perubatan lantikan tetap berjaya menamatkan latihan siswazah, mereka akan ditawarkan gred UD44.

Ini selaras dengan ucapan Y.A.B Perdana Menteri pada 9 Mac 2010 semasa menyampaikan amanatnya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali Ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Beliau mengumumkan penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia yang mempercepatkan tempoh kenaikan pangkat ke Gred 54 antara 2 hingga 5 tahun.

Ini selaras dengan usaha kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkesan kepada rakyat. Usaha murni ini dilaksanakan menerusi penyediaan prasarana kesihatan yang baik dan pembangunan modal insan yang mantap.

Dalam hubungan ini, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan penambahbaikan laluan kerjaya (career path) pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi di KKM.

Oleh itu sepatutnya apabila latihan siswazah atau kontrak pertama tamat, pegawai perubatan sepatutnya ditawarkan tangga gaji UD44 atau sesuatu yang sama dengannya seperti UD43. Ini kerana bidang tugas dan kerja Pegawai Perubatan Kontrak UD41 dan Pegawai Perubatan UD44 adalah sama dan tidak kurang walau sedikitpun.

Perbezaan tangga gaji pokok UD41 dan UD44 untuk sebulan dianggarkan sekitar RM664 tidak termasuk elaun seperti Elaun Keraian dan Perumahan serta peningkatan gaji tahunan. Perbezaan tahunan dianggarkan sebanyak RM7,968.00 setahun.

Perbezaan gaji yang ketara namun bidang tugas dan tanggungjawab yang sama ini menyebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia seolah-olah mengamalkan sistem dwi gaji untuk para petugasnya dan tidak adil untuk mereka yang bergelar Pegawai Perubatan.

Jika Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa kontrak pertama itu dibuat 3 tahun untuk menampung keperluan latihan siswazah, kini Pegawai Perubatan yang telah tamat kontrak pertama selama 3 tahun ditawarkan lanjutan kontrak kedua untuk 2 tahun lagi untuk khidmat wajib.

Namun kontrak kedua ini juga ditawarkan gred gaji yang sama, iaitu UD41 dengan gaji pokok berdasarkan gaji pokok terakhir ketika Kontrak Pertama.

Konklusinya pegawai perubatan kontrak perlu berkhidmat untuk tangga gaji UD41 selama 5 tahun, sedangkan berdasarkan Penambahbaikan Laluan Kerjaya, jika pegawai perubatan telah berkhidmat selama 5 tahun, mereka sudah boleh ditawarkan tangga gaji UD48. Ini sekali lagi satu bentuk layanan dwi standard kepada pegawai perubatan kontrak.

Isu Melanjutkan Pelajaran

Di dalam bidang perubatan, peluang melanjutkan pelajaran sangatlah ditunggu dan dinantikan untuk meningkatkan ilmu serta kemahiran dalam bidang ini. Namun begitu, penawaran sistem kontrak ini menyebabkan peluang melanjutkan pelajaran tidak dapat direalisasikan.

Ini berdasarkan Syarat Syarat Permohonan Tawaran Mengikuti Program Sarjana Perubatan kepada Pegawai-Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Malah jika Pegawai mengambil keputusan mengikuti Program Parallel seperti MRCP, surat KKM bertarikh 25 April 2018, berkenaan Pemantapan Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway Perubatan Dalaman, menyatakan Pegawai Perubatan yang telah lulus kesemua peringkat peperiksaan MRCP, dan cukup pengalaman selama 36 bulan dalam bidang-bidang perubatan dalaman diberi penempatan menjalani latihan pasca MRCP selama 12 bulan diikuti dengan tempoh perwartaan selama 6 bulan.

Ini menjadikan jumlah bulan diperlukan ialah 54 bulan bersamaan 4 tahun 6 bulan, yang mana melebihi tempoh kontrak yang ditawarkan.

Usaha-Usaha Menangani Isu Pegawai Perubatan Kontrak

Pelbagai cara dan usaha telah dibuat oleh Pegawai Perubatan Kontrak ini, namun sehingga sekarang tiada jalan penyelesaian yang diberikan oleh Pihak kerajaan termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam dan KKM sendiri.

Antara usaha termasuklah melancarkan Memorandum Atas Talian. Sehingga dokumen ini ditulis seramai 24,000 orang telah menandatangani Memorandum ini secara atas talian.

Pelbagai perjumpaan juga telah diatur dengan pihak KKM, SPA dan JPA sendiri. Ini termasuk satu sesi Sidang Media Khas oleh Menteri Kesihatan ketika itu Dr Dzulkefly Ahmad pada 8 November 2019 berkenaan isu ini. Selain itu, pada bulan yang sama, Menteri telah pun menyatakan bahawa Kabinet bersetuju untuk menaikkan tangga gaji pegawai perubatan kontrak ini, namun masih tiada perubahan berlaku sehingga sekarang.

Malah pada 23 Mac tahun ini selepas pertukaran cabinet, pihak KKM melalui Timbalan Menteri Kesihatan telah memaklumkan sedang berusaha untuk melanjutkan tempoh kontrak pegawai perubatan sehingga 10 tahun serta menyatakan kemungkinan pegawai diberi lantikan tetap selepas ini. Namun 4 bulan berlalu masih belum ada jalan penyelesaian.

Usaha Pegawai Perubatan Kontrak Ketika Pandemik Covid-19

Sebagaimana semua sedia maklum, dunia sedang dilanda wabak pandemik Covid-19. Berdasarakan Kenyataan Media Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah:

“Empat (4) bulan sudah berlalu sejak kes pertama gelombang kedua Covid-19 dilaporkan di Malaysia, iaitu pada 27 Februari 2020. Buat pertama kalinya, pada hari ini, Malaysia mencatatkan kes harian Covid-19 yang terendah sepanjang gelombang kedua pandemik Covid-19 ini. Lebih penting lagi, tiada kes Covid-19 yang dilaporkan mendapat jangkitan dari dalam negara (iaitu penularan tempatan), sama ada di kalangan warganegara Malaysia mahupun bukan warganegara.

“Malahan, kes harian Covid-19 di kalangan rakyat Malaysia (iaitu yang mendapat jangkitan di dalam negara) didapati sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan dan ramalan pada 21 Mei 2020 oleh Institut Kesihatan Negara (NIH), KKM. Kes baharu yang dilaporkan hari ini pula adalah hanya satu (1) kes iaitu kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.”

Seperti mana kenyataan berkenaan, Malaysia dengan usaha sama pelbagai Kementerian telah berjaya melandaikan lekukan pandemik ini.

Di dalam kejayaan Malaysia ini terdapat sebahagian kecil usaha dari Pegawai Perubatan Kontrak.

Ini termasuk arahan bertugas di Hospital Sungai Buloh pada surat bertarikh 18 Mac 2020, iaitu ketika permulaan Perintah Kawalan Pergerakan, kepada hampir 400 pegawai perubatan kontrak di seluruh Malaysia. Mereka akur dan menurut perintah kerana ini masanya berbakti kepada negara ketika musim pandemik Covid-19.

Konklusi

Dua isu, iaitu perbezaan tangga gaji dan perlanjutan pelajaran ke peringkat pakar, memperlihatkan kesan negatif besar terhadap sistem kontrak ini. Diharapkan agar kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian sewarjarnya untuk perkara ini. Pelbagai cadangan telah diberi, kini tugas pembuat dasar untuk mencari solusi terbaik.

Dr Ahamad Hussain Shaik Mohamed ialah pegawai perubatan UD41 lantikan kontrak.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like