Kes Demam Denggi Dijangka Naik Dalam Gelombang Kedua

Tema Sambutan Hari Denggi Asean di peringkat kebangsaan tahun ini ialah “10 Minit Hapuskan Aedes”.

KUALA LUMPUR, 15 Jun — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan peningkatan kes demam denggi dalam gelombang kedua, bermula pada awal bulan Jun hingga September tahun ini.

KKM telah membuat penjangkaan tersebut berdasarkan tren perbandingan antara kes sejak Januari hingga 13 Jun tahun ini, dan kes tahun lepas pada tempoh masa yang sama.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, sejak Januari hingga 13 Jun tahun ini, sebanyak 50,511 kes demam denggi dan 88 kematian telah dilaporkan, berbanding 56,819 kes dan 88 kematian pada tempoh sama tahun 2019.

Jumlah kumulatif kes demam denggi pada tempoh itu kurang berbanding tahun lepas, namun sejak lapan minggu yang lepas, didapati berlaku tren peningkatan dengan purata peningkatan 8 peratus seminggu.

Beliau berkata dalam satu kenyataan bahawa tema Sambutan Hari Denggi Asean di peringkat kebangsaan pada tahun ini, “10 Minit Hapuskan Aedes”, membawa mesej bagi masyarakat untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes pada setiap minggu.

“Tema ini bertujuan untuk mewujudkan komitmen dan kerjasama padu dari semua pihak termasuk masyarakat, jabatan, agensi kerajaan mahupun swasta untuk bersama-sama menangani masalah denggi,” kata Dr Adham.

Kenyataan tersebut juga menekankan usaha KKM dalam pencegahan denggi yang memberikan fokus kepada peranan komuniti untuk menjalankan aktiviti pemusnahan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di premis masing-masing secara kendiri.

Menteri Kesihatan juga berkata bahawa usaha-usaha KKM untuk membanteras demam denggi semasa pencegahan wabak Covid-19 telah diperkasakan lagi melalui penglibatan agen kesihatan, iaitu sukarelawan COMBI di seluruh negara.

“Mereka berperanan dalam membantu KKM untuk menjalankan aktiviti pendidikan pencegahan Demam Denggi melalui pendekatan norma baharu.

“Sehingga 12 Jun 2020, terdapat 2,954 pasukan COMBI dengan penyertaan lebih dari 25,531 orang sukarelawan terdiri dari komuniti di seluruh negara,” kata beliau.

Pada masa yang sama, beliau juga mengucapkan terima kasih atas komitmen bersepadu semua pihak, termasuk masyarakat, dalam usaha berterusan menangani masalah penularan demam denggi di negara ini.

“Harapan kita adalah supaya usaha ini diteruskan demi memastikan rakyat di negara ini dapat menikmati tahap kehidupan yang berkualiti dan bebas dari ancaman demam denggi. Hal ini seiring dengan inisiatif pembangunan negara di mana aspek penjagaan dan perkhidmatan kesihatan adalah salah satu keutamaan,” kata Dr Adham.

You may also like