Covid-19 No 4: Pasca PKP — Bagaimana? — Dr Lokman Hakim Sulaiman

Covid-19 bagi saya tidak lebih serius dari SARS dan hampir sama seperti yang ditunjukkan oleh pandemik influenza H1N1 sekitar tahun 2009/2010.

Pada 5 Jun 2020, saya menulis ringkas sahaja, memaparkan berita dari Astro Awani yang memberitakan syarikat penerbangan besar AirAsia terpaksa memberhentikan 333 (17%) pekerjanya termasuk 172 pilot dan 50 jurutera.

Bayangkan berapa ramai isirumah yang telah terkesan dan bagaimana mereka hendak meneruskan kehidupan – pilot buat Grabcar atau Grabfood? Ya apa salahnya tapi kumpulan kerja ini pun sudah agak tepu untuk berebut saiz ekonomi yang sama. Prof Madya Dr Hayati Kadir Shahar dari UPM mencadangkan PKPB perlu diteruskan dan menyarankan beberapa sektor ekonomi dibuka berperingkat-peringkat.

Namun beliau tidak memberikan cadangan yang jelas, sektor apa dan bagaimana. Jika sektor pengangkutan termasuk penerbangan awam yang berkait rapat dengan sektor pelancongan dan perjalanan rentas negeri, masih tidak dibenarkan, berapa ramai lagi pekerja di buang? Sedangkan saya sudah menjelaskan dalam siri penulisan sebelum ini bahawa,

Berasaskan fakta epidemiologi dan apa yang kita tahu mengenai Covid-19, kita sebenarnya sudah bersedia membuka sektor ekonomi seluas-luasnya dan membuka sempadan negeri sepenuhnya.

Jika tidak, pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri hanya akan kelihatan cantik di atas kertas sahaja dan kita berisiko amat tinggi untuk menepati ramalan Bloomberg bahawa Malaysia akan mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk dalam masa 6 bulan lagi.

Bagaimana PENJANA mampu untuk perkasakan penduduk, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi jika elemen asas dalam perniagaan dan ekonomi iaitu pergerakkan manusia, barangan dan kewangan masih disekat? Contohnya, bagaimana rangsangan RM1 billion untuk initiatif transformasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) membantu jika industri pelancongan belum nampak cahaya dipenghujungnya kerana orang ramai masih tak boleh melancong kerana sekatan perjalanan?

Saya juga tak faham bagaimana langkah cukai bagi sektor pelancongan seperti pengecualian cukai pelancongan, cukai perkhidmatan, dan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM1000.00 perbelanjaan melancong memberi kesan kalau sempadan negeri masih ditutup? Jadi saya dapat merasakan pembukaan sempadan negeri akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Saya ingin meyakinkan mereka yang masih ragu-ragu kenapa kita TIDAK MEMPUNYAI PILIHAN kecuali untuk terus BELAJAR MENJALANI KEHIDUPAN BERSAMA-SAMA COVID-19 (learn to live with it), tetapi dengan KEBIASAAN BARU. Ini adalah kerana virus ini akan terus wujud di muka bumi ini kerana:-

  • Ia sangat mudah berjangkit, membolehnya merebak dengan cepat dan diisytiharkan pandemik.
  • Kita tidak mempunyai ubat yang berkesan untuk membunuh virus ini yang boleh digunakan untuk merawat jangkitan diperingkat awal supaya pesakit tidak melarat menjadi lebih teruk dan tidak menjadi sumber jangkitan pada orang lain.
  • Kita tidak mempunyai vaksin untuk melindingi orang ramai dari dijangkiti.
  • Seperti dijelaskan sebelum ini, betul PKP boleh memutuskan penularan tetapi ia perlu dilakukan dalam tempoh yang lama (lebih 6 bulan) tetapi dengan kos yang amat tinggi – kemelesetan ekonomi yang teruk dan kemusnahan kehidupan. Banyak statistik sosial belum didedahkan pihak berwajib akibat PKP dan PKPB yang sedang berjalankan. Begitu juga dengan statistik kesihatan mental yang belum didedahkan.

Vaksin kalau adapun di pasaran mungkin paling awal di pertengahan 2021. Namun apa jaminan orang nak jual kepada Malaysia. Tentu negara pengeluar akan guna untuk rakyat mereka dahulu. Jadi kita kena tunggu lebih lama, mungkin tahun 2022 atau selepas itu. Kecuali Malaysia hasilkan vaksin sendiri.

Saya juga sudah menjelaskan dalam siri penulisan sebelumnya dan saya ingin meyakinkan tuan-tuan dan puan-puan sekali lagi bahawa KITA SUDAH BERSEDIA UNTUK HIDUP BERSAMA COVID-19 dan MENGHADAPI GELOMBANG COVID-19 SETERUSNYA kerana:-

Kita telah berjaya merendahkan lengkok epidemiologi jangkitan dan berjaya menyelamatkan sistem kesihatan negara dari kesan keterlaluan (overwhelming) Covid-19. Kita tidak alami apa yang dialami oleh Itali dan beberapa kota di USA. Maknanya sistem kesihatan tidak terjejas dan masih utuh.

Malah sistem kesihatan negara telah berjaya diperkukuhkan dari aspek kapasiti rawatan rapi (ICU) termasuk alat ventilator, kapasiti wad-wad untuk rawatan Covid-19, wad untuk kes berisiko rendah (hospital MAEPS), kapasiti ujian diagnosis, dan kapasiti Pusat Kuarantin yang diwartakan.

Trend of total Covid-19 cases in Malaysia according to citizens and foreigners. Graphic from Lokman Hakim Sulaiman.

Bukan setakat merendahkan lengkok epid, kita juga telah berjaya mengurangkan kes di kalangan warga tempatan kepada satu angka sahaja. Maknanya risiko penularan dalam masyarakat dan risiko perebakan melalui pergerakan manusia adalah sangat rendah. Lihat Rajah 1. Sejak 4 minggu kebelakangan (statistik KKM mula membezakan kes tempatan sebagai Warga Negara (WN) atau Warga Asing (WA).

Rajah 1 menunjukkan:-

  • bilangan kes warga tempatan terus menunjukkan tren menurun.
  • walaupun tren kes warga asing meningkat dengan tinggi, ia tidak memberi kesan kepada kes tempatan (terus menurun).
  • Majoriti kes warga asing adalah dalam depot tahanan jadi ia tidak memberi kesan. Namun perlu diingat, berlaku beberapa kluster melibatkan pekerja asing telah berlaku di dalam masyakat dan yang terbesar, Kluster Pedas, tetapi ia terhad kepada pekerja kilang berkenaan dan tidak pun menular ke masyarakat sekeliling.
  • Bermakna pasukan kesihatan kita telah bertindak cepat dan efisien bagi mengawal keadaan.
  • Kes positif di kalangan WA juga dikesan dari ujian saringan yang dilakukan ketika pembukaan sektor-sektor ekonomi namun TIADA BUKTI EPIDEMIOLOGI kes-kes positif di kalangan WA tersebut telah menular kepada masyarakat tempatan. Kenapa? Sebabnya antara lain kita telah membudaya KEBIASAAN BARU.

Bererti KEBIASAAN BARU telah menunjukkan kesan positif mengurangkan risiko perebakan, hatta di kawasan panas di Lembah Klang sekalipun. Oleh itu apa risikonya bagi orang Lembah Klang merentas negeri untuk bekerja, bersosial dan melancong?

Hujah saya di atas berlandaskan FAKTA YANG DIDEDAHKAN OLEH KKM melalui PERSIDANGAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN (KPK) setiap hari. Kalau KKM silap, saya pun silap.

Saya juga ingin meyakinkan tuan-tuan dan puan-puan bahawa jangkitan Covid-19 ini tidaklah seteruk mana, lebih-lebih lagi bila kita mampu membudayakan kebiasaan baru.

Setelah lebih kurang 4 bulan, Covid-19 telah menjangkiti sejumlah 6,353,534 orang dengan 387,155 kematian di seluruh dunia (WHO Situation Report No. 137, dated 05.06.2020). Betul ia begitu mudah berjangkit tetapi jika di bandingkan kadar kematian global Covid-19 dengan jangkitan virus baru muncul yang lain, ia adalah terendah:-

Covid-19: 8%; SARS: 15%; MERS-CoV: 34%; Nipah: 40%; Ebola: 50%.

Malah, kadar fataliti kes Covid-19 berbeza-beza mengikut rantau WHO. Rantau Eropah (8.1%), Americas (5.6%), Western Pacific (3.8%), Southeast Asia (2.7%), Africa (2.4% dan Eastern Mediterranean (2.3%). Malaysia di dalam rantau Western Pacific.

Kalau mengikut negara pula, kumpulan Eropah dan Amerika: France (19%), Italy (14.2%), USA (5.7%) dan Germany (4.7%) manakala kumpulan Asia: Thailand (1.8%), Malaysia (1.8%), Singapore (0.06%) dan Jepun (5.3%) (sumber: Covid-19 Statistics).

Apa yang dapat kita rumuskan di dengan statistik WHO dan Covid-19 Statistics ini? Saya merumuskan:-

  1. Rata-rata kadar kematian di negara maju di Amerika, dan Eropah lebih tinggi bukan kerana sistem kesihatan mereka tak canggih tetapi kerana negara tersebut berisiko tinggi kerana mereka adalah “the ageing nation” di mana peratusan orang tua adalah tinggi.
  2. Lihat di Asia, rata-rata kadar kematian adalah rendah di bawah 2% kecuali Jepun yang menyamai German. Walaupun sistem kesihatan di GERMAN dan JEPUN adalah antara yang TERBAIK DI DUNIA, namun cabaran mereka adalah JUMLAH PENDUDUK TUA YANG TINGGI.
  3. MALAYSIA dengan penduduk yang relatif masih MUDA, kita TIDAK TERDEDAH KEPADA RISIKO KEMATIAN COVID-19 YANG TERUK. Apatah lagi jika kita membudayakan kebiasaan baru.

Rumusan saya ini berdasarkan FAKTA. Jika statistik WHO silap (Covid-19 Statistics pun bersumberkan WHO), maka saya juga silap.

Covid-19 risk of infection by age group as of March 31, 2020. Left graphic from Ministry of Health and the right graphic from Lokman Hakim Sulaiman.

Malah statistik Malaysia sendiripun mengesahkan rumusan saya di atas berkaitan risiko jangkitan dan kematian akibat Covid-19. Lihat Rajah 2. Geraf sebelah kiri adalah yang didedahkan oleh KKM. Untuk rekod, inilah satu-satu maklumat berkaitan Covid-19 mengikut kumpulan umur yang didedahkan oleh KKM sehingga kini (data sehingga 31 Mac 2020 sahaja).

Apakah corak risiko ini berbeza dengan pertambahan kes sejak 1 April 2020, itu kena tanya KKM. Dari geraf tersebut terdapat dua kemuncak kes, kumpulan umur 26-30 (180 kes) dan 61-65 (182 kes). Betul dua kumpulan umur tersebut paling ramai dijangkti. Tetapi bila kita bercakap mengenai risiko jangkitan secara epidemiologi, kita kira kadar jangkitan berdasarkan jumlah populasi kumpulan tersebut. Logiknya, lagi ramai populasi kumpulan tersebut lagi tinggilah risiko jangkitan.

Tetapi geraf dua yang saya buat, jelas KADAR JANGKITAN TERTINGGI ADALAH BAGI KUMPULAN UMUR 55-59 DENGAN KADAR 12.65 PER 100,000 penduduk. Jumlah penduduk kumpulan 25-30 jauh lebih besar dari kumpulan 55-59 tetapi risiko mereka dijangkiti jauh lebih rendah. Kadar jangkitan 2 angka semuanya di kalangan mereka yang berumur lebih 55 tahun.

Sebab itu kita kata orang tua adalah berisiko tinggi. Bagaimana pula kumpulan kanak-kanak pra-sekolah, sekolah dan universiti (sehingga 24 tahun)? Ternyata data menunjukkan kadar jangkitan kumpulan ini SEBENARNYA TERSANGAT RENDAH.

Covid-19 incidence rate per 100,000 population and rate of death according to age group, as of March 31, 2020. Graphic from Lokman Hakim Sulaiman.

Mari kita lihat pula kadar fataliti (kematian) kes mengikut kumpulan umur. Lihat Rajah 3. Sehingga 31 Mac 2020, JELAS DAN NYATA KUMPULAN BERUMUR 70 TAHUN KE ATAS ADALAH PALING TINGGI RISIKO UNTUK MATI kerana jangkitan Covid-19 dengan kadar kematian melebihi 2 angka.

Risiko kematian remaja pelajar universiti dan kanak-kanak sekolah dan pra-sekolah pula adalah kosong!!!

Oleh itu, rumusan saya mengenai risiko jangkitan dan kematian akibat Covid-19 adalah seperti berikut:-

Benar Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang sangat mudah menular (very infectious), sebab itu ia menyebabkan pandemik.

Tetapi ia tidak menyebabkan jangkitan yang serius kepada majoriti penduduk dunia kecuali mereka yang berumur. Risiko tertinggi untuk dijangkiti dan kematian adalah mereka yang berumur melebihi 60 tahun.

Covid-19 menyebabkan jangkitan ringan disahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan dalam kenyataan akhbar hari ini (06 Jun 2020) bahawa hampir dalam kesemua kluster, peratusan mereka yang TIDAK BERGEJALA adalah di antara 80- 85%.

Dengan dasar KKM membuat SARINGAN TERARAH (TARGETED SCREENING), saya percaya lebih ramai lagi orang-orang yang TIDAK BERGEJALA BERKELIARAN DI DALAM MASYARKAT TANPA DIKESAN. Menariknya mereka tidak pula menyebabkan peningkatan kes Covid-19 yang bergejala dalam masyarakat umum yang memerlukan rawatan hospital.

Risiko kematian meningkat jika pesakit mempunyai masalah perubatan lain seperti diabetes, hipertensi, kanser, dan penyakit kronik yang lain.

Kanak-kanak sekolah tidak berisiko tinggi untuk dijangkiti dan mengalami kematian.

Sekali lagi saya katakan, berdasarkan fakta epidemiologi yang saya bentangkan di atas dari analisa statistik yang didedahkan KKM, Covid-19 bagi saya tidak lebih serius dari SARS dan hampir sama seperti yang ditunjukkan oleh pandemik influenza H1N1 sekitar tahun 2009/2010.

Oleh itu persoalan saya, APAKAH KEWAJARAN MENUTUP SESI PERSEKOLAHAN sehingga hujung tahun kecuali bagi tahun-tahun peperiksaan dan MENGEKANG PENGAJARAN BERSEMUKA PENUNTUT UNIVERSITI hatta bagi kumpulan kecil seperti “Problem-Based Learning” dan pembelajaran tepi katil di hospital dan klinik bagi penuntut klinikal?

SEBENARNYA risiko dalam sektor ini adalah KEPADA PARA GURU-GURU DAN PENSYARAH YANG BERUMUR, BUKAN kanak-kanak sekolah dan penuntut universiti. Apakah tiada kaedah untuk MELINDUNGI KUMPULAN BERISIKO INI TANPA MENJEJASKAN PROSES PEMBELAJARAN anak-anak kita? Fikir-fikirkan lah.

Oleh itu, saya ingin menyarankan supaya kerajaan MEMBUKA SEKTOR EKONOMI DAN MEMBUKA SEMPADAN NEGERI SEPENUHNYA bersama-sama dengan PENGUKUHAN AMALAN KEBIASAAN BARU YANG PRAGMATIK.

Saya juga ingin menyarankan dasar berkaitan PEMBELAJARAN DI SEKOLAH DAN DI UNIVERSITI DIKAJI SEMULA. Pendidikan adalah sangat penting dan sektor pengajian tinggi mempunyai potensi besar dalam kemelut pendidikan tinggi antarabangsa akibat Covid-19.

“In the middle of difficulty lies opportunity”.

Albert Einstein

Apa kebiasaan baru yang PRAGMATIK? Bagaimana kita MENGURUS RISIKO bagi membendung gelombang Covid-19 di samping meneruskan kehidupan bersosial dan merangsang ekonomi? Tunggu siri seterusnya.

BERSAMBUNG

Disclaimer: Penulisan ini adalah pandangan peribadi saya semata-mata dan tidak ada mewakili mana-mana pihak.

Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman
Professor dan Pakar Perunding Kesihatan Awam, IMU.
Felo, Akademi Sains Malaysia
Felo, Akademi Perubatan Malaysia.
Ahli Kumpulan Penasihat WHO bagi Rangka Kesiapsiagaan Pandemik Influenza, Geneva

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like