KKM Lapor 50 Kes Baharu Covid-19

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 jatuh ke bawah 2,000 kes.

KUALA LUMPUR, 22 April – Kementerian Kesihatan Malaysia) KKM) hari ini mengumumkan bahawa terdapat pertambahan 50 kes baharu Covid-19 sehingga 12 tengah hari, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 5,532 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,987 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sebuah kenyataan.

“Sehingga kini, seramai 43 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 25 kes memerlukan bantuan pernafasan.”

Sebanyak 103 kes telah pulih hari ini, menjadikan jumlah pesakit yang dibenarkan pulang ke rumah adalah sebanyak 3,452 kes.

“Justeru, bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah lebih dua kali ganda bilangan kes yang dilaporkan,” kata Dr Noor Hisham.

Terdapat satu kes kematian baru hari ini, menjadikan jumlah kematian berkaitan Covid-19 sekarang sebanyak 93 kes.

“Kes kematian ke-93 (kes ke-5483) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah dan darah tinggi.”

Selain itu, Dr Noor Hisham juga telah memaklumkan mengenai satu kluster baru yang bermula di Pengerang, Johor.

“Kes indeks (iaitu kes ke-1508) kluster ini telah mula mengalami gejala pada 12 Mac 2020. Beliau telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac 2020 dan disyaki sebagai menghidap Demam Denggi.

“Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa buah negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac 2020. Keadaan kesihatan beliau mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac 2020 dalam keadaan yang kritikal. Beliau seterusnya disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 22 Mac 2020,” tambah Dr Noor Hisham.

Setakat hari ini, kluster tersebut telah melibatkan 15 kes positif, iaitu 10 rakan sekerja dan 5 ahli keluarga kes indeks. Ahli keluarga termasuk ibu kes indeks berumur 79 tahun dan anak perempuan berumur 10 tahun.

“Sebanyak tujuh kes daripada kluster ini masih di dalam rawatan, manakala lapan kes lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj. Secara keseluruhan, tiga kes di dalam kluster ini telah dirawat di ICU.”

Dr Noor Hisham berkata bahawa jangkitan oleh ahli keluarga menetap di negeri lain adalah dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjungi yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

You may also like