Selangor Sasar 2,200 Lagi Untuk Saringan Komuniti Covid-19

Kadar positif saringan komuniti Covid-19 atas 3,011 orang setakat ini ialah 0.17%.

KUALA LUMPUR, 21 April – Kerajaan negeri Selangor akan memulakan saringan komuniti Covid-19 pusingan keempat dengan menyasarkan 2,200 orang di Sepang, Hulu Selangor, dan Gombak.

“Berikut adalah lokaliti terbaharu yang terlibat: Sepang pada 21 April 2020 (Selasa) bermula 9 pagi hingga 6 petang – Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi (Sasaran: 400 sampel);

“Hulu Selangor pada 22 April 2020 (Rabu) bermula 9 pagi hingga 6 petang – Bukit Beruntung Golf Club (Sasaran: 400 sampel);

“Gombak pada 22 & 23 April 2020 (Rabu & Khamis) bermula 9 pagi hingga 6 petang– Pejabat Daerah Gombak (Sasaran: 1,400 sampel),” kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dalam sebuah kenyataan semalam.

“Saringan pandu lalu (drive-thru) ini percuma kepada golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang bergejala.”

Setakat ini, kerajaan Selangor telah melaksanakan saringan komuniti ke atas 3,011 orang. Daripada itu, lima kes positif Covid-19 telah dikenalpasti, atau kadar positif pada 0.17 peratus.

“Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pejuang baris hadapan yang terdiri daripada para sukarelawan SELCARE Clinic, Pejabat Kesihatan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Polis Diraja Malaysia.”

You may also like