Isu Keselamatan Dan Kesihatan Anggota Polis Semasa Wabak Covid-19 — PPPKAM

Pihak berkuasa boleh menyemak dokumen pemandu melalui cermin tingkap dibuka sedikit sahaja.

Dengan segala hormatnya, saya mewakili Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) ingin merakamkan penghargaan kami di atas sumbangan semua lapisan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Demi usaha membendung wabak Covid-19, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, para anggota PDRM telah banyak berkorban masa dan tenaga, di samping meletakkan diri masing-masing terhadap risiko jangkitan penyakit ini.

Sebagai suatu pertubuhan bukan kerajaan yang profesional dan fokus kepada kepentingan kesihatan awam, pihak kami sering bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pelbagai aspek.

Kami amat prihatin dengan isu-isu pencegahan dan kawalan penyakit dan berdasarkan pemerhatian kami tentang cara anggota PDRM melaksanakan tugas di pos sekatan, kami merasa terpanggil untuk memaklumkan kepada Ketua Polis Negara dan juga warga PDRM mengenai beberapa kegusaran kami.

Pemeriksaan pemandu dan kenderaan semasa PKP adalah sangat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Namun kami ingin mengutarakan beberapa cadangan dan saranan agar dapat mengurangkan lagi risiko jangkitan Covid-19 kepada anggota PDRM yang bertugas.

Kurang atau elakkan dari menyentuh barangan pemandu yang diperiksa seperti dokumen yang berkaitan bagi mengurangkan transmisi virus ke tangan anggota polis. Sebagaimana diamalkan di luar negara, pihak berkuasa boleh menyemak dokumen pemandu melalui cermin tingkap dibuka sedikit sahaja.

Cermin selebihnya menjadi penghalang yang amat berkesan untuk memutuskan jangkitan tersebut. Sekiranya masih perlu memeriksa dokumen tersebut dengan lebih teliti, anggota lain dengan sarung tangan hendaklah menjalankan soal siasat berkaitan. Cara memakai, menanggal dan melupuskan sarung tangan mestilah mengikut kaedah yang selamat dan sihat.

Penutup muka perlulah dari jenis N95 ataupun jenis surgikal 3-lapis kerana jenis-jenis ini didapati berkesan sehingga 95% untuk mengurangkan penularan virus Covid-19 yang bersaiz sangat halus. Topeng muka yang dibuat dari kain yang banyak di pasaran kini telah didapati tidak memberi perlindungan langsung (0%) terhadap penularan virus seperti COVID-19.

Semua sarung tangan dan penutup muka hendaklah dibuang ke dalam beg plastik tebal dua lapis dan diikat dengan kemas sebelum dihantar ke premis KKM yang terdekat seperti Klink Kesihatan atau Pejabat Kesihatan Daerah untuk tujuan pelupusan biohazard.

Bagi menjaga kesihatan keluarga anggota PDRM, mereka perlu digalakkan untuk membawa satu salinan pakaian bersih dan sabun sendiri semasa datang melapor diri untuk menjalankan tugas.

Sebelum pulang ke rumah selepas bertugas, sebaiknya mandi dengan air bersih dan sabun di mana-mana balai polis sebelum pulang ke rumah. Pakaian semasa bertugas hendaklah terlebih dahulu direndam selama 10 ke 20 minit dalam bancuhan air bersih dan chlorox, masing-masing pada nisbah 1:10, sebelum ia dibilas dan dibasuh seperti biasa.

Kami juga berpendapat bahawa penggunaan terowong disinfeksi seharusnya tidak digalakan. Ini kerana risiko gangguan terhadap kornea mata dan sistem pernafasan anggota polis mungkin akan berlaku sekiranya bahan kimia yang digunakan tidak dipantau dengan baik.

Kami seluruh keahlian PPPKAM amat menyanjung tinggi segala pergorbanan dan penat lelah anggota Polis DiRaja Malaysia dari dulu hingga kini. Namun kesihatan diri dan keluarga semua anggota perlu dijaga agar usaha menangani wabak COVID-19 ini boleh diteruskan dengan jaya.

Datuk Dr Zainal Ariffin Omar ialah presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM).

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like