Sultan Selangor Tangguh Solat Jumaat Hingga 31 Mei

By CodeBlue | 13 April 2020

Selangor merupakan negeri dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi, iaitu 1,236 kes daripada jumlah kumulatif 4,683 kes di seluruh negara.

  •  
  • 3
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KUALA LUMPUR, 13 April — Sultan Selangor hari ini menitahkan agar tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah, dan aktiviti-aktiviti ceramah dan kuliah di masjid, surau dan madrasah dilanjutkan sehingga 31 Mei.

Namun demikian, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata sekiranya wabak Covid-19 dapat dibendung dalam satu tempoh yang lebih awal, satu arahan baru mengenai langkah-langkah tersebut di negeri Selangor akan dikeluarkan.

“Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat zuhur dan solat-solat fardhu serta solat sunat tarawih pada bulan Ramadan tahun ini hendaklah dilakukan di rumah masing-masing,” Sultan Sharafuddin berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh setiausaha sulit baginda, Mohamad Munir Bani hari ini.

Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan baginda terhadap 6.5 juta penduduk negeri Selangor yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan wabak ini sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), negeri Selangor merupakan negeri dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi, iaitu 1,236 kes semalam, daripada jumlah kumulatif 4,683 kes di seluruh negara.

Kerajaan persekutuan telah melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan sehingga 28 April dalam usaha memerangi wabak coronavirus.

  •  
  • 3
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

You may also like