KKM Hasilkan Prototaip Ventilator 3D Printing

Langkah ini hasil kolaborasi KKM, UTM dan ATM.

KUALA LUMPUR, 13 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghasilkan prototaip pertama ventilator berteknologi Advanced Medical 3D Printing.

“Prototaip ini akan sentiasa dibuat penambahbaikan dan akan dijalankan pengujian sepenuhnya bersama pihak Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) agar dapat berfungsi untuk menyokong keperluan asas bantuan pernafasan bagi pesakit,” Menteri Kesihatan Dr Adham Baba beritahu sebuah taklimat media mengenai kolaborasi strategik inovasi kejuruteraan kesihatan.

Beliau juga berkongsi mengenai kewujudan Unit Penyelidikan Kejuruteraan Biomedikal dan Fasiliti Kesihatan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan penyelidikan dan memberikan khidmat nasihat teknikal berkaitan Kejuruteraan Biomedikal dan Fasiliti Kesihatan, yang beroperasi di National Institute of Health (NIH) di Setia Alam, Shah Alam.

“Keahlian dalam unit ini adalah terdiri daripada gabungan pakar kejuruteraan biomedikal dan fasiliti kesihatan serta pelbagai disiplin perubatan dan kesihatan di dalam KKM.

“Ia juga akan menyaksikan penglibatan pintar universiti tempatan dan luar negara, agensi kerajaan lain saperti SIRIM, Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) dan juga pihak industri,” tambah Dr Adham.

You may also like