Sultan Selangor Batal Majlis Buka Puasa, Solat Tarawih Berjemaah

Agihan zakat dan bantuan Hari Raya sebanyak RM500 akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima.

KUALA LUMPUR, 8 April — Sultan Selangor telah memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih di masjid-masjid seluruh negeri pada bulan Ramadan tahun ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa keputusan itu diambil setelah mengambil kira faktor keselamatan susulan penularan wabak Covid-19 yang dikatakan masih belum dapat dibendung sepenuhnya, dan bagi mengelak rakyat daripada risiko terkena jangkitan.

Ia adalah tradisi pada setiap bulan Ramadan untuk Sultan Selangor mengadakan majlis berbuka puasa di daerah-daerah seluruh negeri Selangor dan menyampaikan sumbangan Hari Raya daripada Lembaga Zakat Selangor kepada asnaf dan fakir miskin di Selangor.

“Bagaimanapun, sumbangan duit raya dan agihan zakat kepada asnaf serta golongan yang memerlukan akan diteruskan, cuma ia tidak akan disampaikan pada majlis berbuka puasa seperti tahun-tahun sebelum ini,” Sultan Sharafuddin berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Mohamad Munir Bani hari ini.

Pihak Lembaga Zakat Selangor akan menyalurkan agihan zakat dan bantuan Hari Raya sebanyak RM500 kepada setiap penerima melalui pengkreditan terus ke akaun-akaun bank mereka.

Bagi penerima yang tidak memiliki akaun bank, Lembaga Zakat Selangor akan memberikan baucar tunai untuk dikeluarkan di mana-mana cawangan Bank Islam.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sepatutnya tamat pada 14 April. Kerajaan Malaysia akan memutuskan hari Jumaat ini sama ada PKP akan dilanjutkan selepas 14 April.

Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia telah mencapai sebanyak 3,963 kes, selepas 170 kes baharu dilaporkan semalam. Jumlah kumulatif kes kematian coronavirus adalah sebanyak 63 kes.

You may also like