Rembau Lapor Kluster Covid-19, Guru-Guru Jangkiti Keluarga, Kampung

KKM mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat.

KUALA LUMPUR, 8 April — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan sebuah sub-kluster Covid-19 sebanyak 27 kes di Rembau, Negri Sembilan. Ia melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan beberapa lokaliti.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata penularan Covid-19 di Rembau dipercayai berpunca daripada sebuah mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan, yang dihadiri oleh kes indeks (kes ke-448). Beliau merupakan salah seorang peserta perhimpunan tabligh di masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Guru-guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung, sehingga terdapat tiga generasi jangkitan. 

“Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun negara kini adalah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” Dr Noor Hisham berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 27 kes positif Covid-19 dikesan di Rembau sehingga jam 12 petang hari ini, termasuk dua kes yang dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU).

“Didapati semasa tempoh PKP ini, masih terdapat aktiviti pergerakan yang tidak dibenarkan serta aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara termasuk mereka yang tidak sihat serta mereka yang sedang menjalani ‘home / self surveillance’,” kata Dr Noor Hisham.

Ketua Pengarah berkata kes kematian ke-64 melibatkan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 58 tahun yang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan dan telah meninggal dunia semalam. Beliau dan beberapa orang lain telah melakukan perjalanan ke dua negeri, walaupun PKP telah pun berkuatkuasa sejak 18 Mac.

“Didapati kenderaan di jalan raya juga makin meningkat. KKM khuatir sekiranya ketidakpatuhan oleh masyarakat ini akan meningkatkan lagi penularan jangkitan Covid-19.”

KKM melaporkan 156 kes baharu Covid-19 hari ini. Ianya lebih rendah daripada 166 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital hari ini.

Kes kumulatif Covid-19 di Malaysia telah meningkat ke 4,119 kes. 

Seramai 76 kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU. Daripada jumlah tersebut, 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dua kematian baharu dilaporkan hari ini, iaitu kes kematian ke-64 dan kes kematian ke-65 yang merupakan lelaki warganegara Pakistan berumur 69 tahun dan mempunyai latarbelakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Sri Petaling. Seorang warganegara Indonesia sebelum ini juga meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Menurut Dr Noor Hisham, 145 warganegara asing di Malaysia telah dijangkiti Covid-19. Sebanyak 95 peratus daripada kes Covid-19 di Malaysia melibatkan warganegara Malaysia.

You may also like