KUALA LUMPUR, 7 April – Anjing dan kucing tidak menyebarkan virus Covid-19 kepada manusia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPVM) berkata hari ini.
JPVM berkata sebarang punca jangkitan pada haiwan terpencil adalah daripada manusia, sambil menasihatkan pemilik haiwan kesayangan untuk mengasingkan diri daripada haiwan peliharaan jika diri mereka disyaki terjangkit dengan Covid-19.
“Masyarakat tidak perlu gusar dan khuatir kerana haiwan kesayangan bukan penyebar virus Covid-19,” kata JPVM dalam sebuah kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook.
“Buat masa ini, pemilik haiwan tidak perlu menjalankan ujian pengesanan virus Covid-19 pada haiwan kesayangan mereka.”
Jabatan tersebut juga memetik teks dari Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) yang mengatakan bahawa Servis Veterinar Hong Kong telah menjalankan ujian terhadap dua ekor anjing yang merupakan kontak rapat dengan pemiliknya, yang positif coronavirus.
Ujian menunjukkan bahawa walaupun anjing tersebut mempunyai kehadiran bahan genetik Covid-19, ia tidak menunjukkan simptom klinikal penyakit itu.
OIE, yang sedang menjalankan kajian lebih lanjut dalam perkara ini, juga berkata bahawa tiada bukti yang menunjukkan anjing memainkan peranan dalam penyebaran penyakit manusia ini, atau menunjukkan anjing-anjing tersebut jatuh sakit.
Susulan berita bahawa seekor harimau Malaya di Bronx Zoo, New York City, disahkan positif coronavirus, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah menasihatkan orang awam supaya menjaga kebersihan diri dan haiwan peliharaan supaya tidak dijangkiti Covid-19.