Malaysia Lapor 217 Kes Baharu Covid-19, Tiga Kematian

Sejumlah 108 pesakit Covid-19 di ICU; 54 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

KUALA LUMPUR, 3 April – Sehingga 12 petang ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan sebanyak 217 kes baru Covid-19 yang menjadikan jumlah kes di negara sebanyak 3,333 kes.

“Daripada 217 kes ini, 58 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling. Selain itu, 44 kes telah dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM yang merupakan salah satu hospital COVID-19, di mana 41 kes adalah kes berkaitan madrasah tahfiz di Selangor,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini.

Sejumlah 108 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), daripada jumlah tersebut, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat 138 anggota kesihatan KKM yang telah dikesan positif Covid-19.

“Berdasarkan siasatan setakat ini, tiada kes yang berpunca daripada pengendalian kes yang disahkan positif dari wad COVID-19 dan ICU di fasiliti KKM.”

Tiga kematian baru telah dicatatkan, menjadikan jumlah pesakit yang meninggal akibat Covid-19 sebanyak 53 orang.

Kes kematian ke-51 (kes ke-2561) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung; kes kematian ke-52 (kes ke-2122) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun; dan kes kematian ke-53 (kes ke-2034) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

Sebanyak 60 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang dibenarkan pulang adalah 827 orang, 24.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

You may also like