Malaysia Lapor Kematian Covid-19 Warga Asing Pertama

94 kes Covid-19 dirawat di ICU; 6 kematian baru hari ini.

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan kes kematian berkaitan Covid-19 yang melibatkan warga asing pertama di Malaysia, dengan jumlah kematian kumulatif sebanyak 43 kes.

“Kes kematian ke-41 (kes ke-1275) merupakan lelaki warganegara Indonesia berumur 40 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 1.38 pagi,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu sidang media hari ini.

Sehingga 12 petang hari ini, 140 kes Covid-19 baru dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 2,766 kes.

“Sehingga kini, seramai 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 60 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Dr Noor Hisham.

Selain itu, sebanyak 58 kes telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang. Ini menjadikan jumlah kes yang telah pulih sebanyak 537 kes, iaitu 19.4 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

Sebanyak enam kematian baru berkaitan Covid-19 telah direkodkan hari ini, termasuk warga Indonesia tersebut.

Kes kematian ke-38 iaitu kes ke-2269 ialah seorang warganegara Malaysia berumur 48 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Kes kematian ke-39 iaitu kes ke-2626 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara Arab Saudi.

Kes kematian ke-40, iaitu kes ke-2627 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Kes kematian ke-42 iaitu kes ke-2628 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

Kes kematian ke-43 iaitu kes ke-2629 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit jantung.

You may also like