Jumlah Pesakit Covid-19 Discaj Terbesar Dalam Satu Hari Dengan 91 Kes

Tiga kematian baharu dilaporkan hari ini, dan juga 156 kes baharu Covid-19.

KUALA LUMPUR, 30 Mac — Terdapat 91 pesakit coronavirus yang telah pulih dan discaj hari ini, iaitu jumlah discaj dalam satu hari yang terbesar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 479 kes (18.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,626 kes).

KKM melapor 156 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kes positif coronavirus di Malaysia adalah sebanyak 2,626 kes.

Seramai 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiga kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 37 kes kematian (1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Kes kematian ke-35 (kes ke-1952) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 57 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Indonesia. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor, dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac.

Kes kematian ke-36 (kes ke-1941) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac.

Kes kematian ke-37 (kes ke-2471) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 46 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun. Beliau telah dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata.

Selangor merupakan negeri dengan kes Covid-19 tertinggi, iaitu sebanyak 672 kes, diikuti dengan Kuala Lumpur (396), Johor (333), Sabah (201), Perak (184), Negri Sembilan (172), Sarawak (135), dan Kelantan (127).

You may also like