Kes Kematian Coronavirus Ke-17 Dilaporkan

Pesakit 1,251 berusia 66 tahun dan mempunyai beberapa penyakit kronik.

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kes kematian coronavirus sebanyak 17 orang di Malaysia.

Kes kematian ke-17 (kes ke-1,251) merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 66 tahun dengan latar belakang beberapa penyakit kronik.

Beliau telah mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 20 Mac.

Keadaan beliau kritikal semasa tiba di Jabatan Kecemasan dan seterusnya memerlukan bantuan pernafasan pada hari yang sama. Beliau disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac. Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada hari ini, jam 4.10 pagi.

“Punca jangkitan Covid-19 beliau masih dalam siasatan,” Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata.

Update pada 9 petang:

Dr Noor Hisham berkata dalam satu kenyataan bahawa Pesakit 1,251 ialah seorang lelaki yang disyaki mempunyai sejarah kontak dengan kes positif Covid-19.

You may also like