Dua Lagi Kes Coronavirus Di Malaysia, Orang Jepun Dan Itali

Kedua-dua pesakit Covid-19 baharu bekerja atau menetap di Malaysia.

KUALA LUMPUR, 28 Feb — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan dua kes baharu coronavirus hari ini yang melibatkan seorang wanita Jepun dan seorang lelaki Itali.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa kes ke-24 merupakan seorang warganegara Jepun berusia 41 tahun yang bekerja di Malaysia.

Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun pada bulan Januari dan juga ke Indonesia pada awal Februari. Wanita Jepun itu kemudian mempunyai gejala demam dan telah mendapat rawatan pada 17 Februari, seterusnya disahkan positif Covid-19 semalam.

Kini beliau sedang dirawat di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur.

Kes ke-25 merupakan seorang warganegara Itali yang berkahwin dengan warganegara Malaysia dan telah menetap di Malaysia. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Itali atas urusan kerja pada 15 hingga 21 Februari.

Beliau mula mengalami gejala demam, batuk, sakit sendi dan sakit badan pada 22 Februari. Setelah lelaki Itali tersebut mendapatkan rawatan, beliau disahkan positif Covid-19 pada hari ini.

Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh.

Dr Noor Hisham berkata, dengan pelaporan dua kes terbaharu ini, jumlah kumulatif kes Covid-19 sehingga hari ini adalah sebanyak 25 kes — 15 warganegara China, tujuh warganegara Malaysia, dan tiga dari negara lain (Amerika Syarikat, Jepun, serta Itali).

“Daripada 25 kes positif ini, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj – menjadikan kes yang masih menerima rawatan di wad pada ketika ini seramai tiga orang,” Ketua Pengarah Kesihatan berkata.

Negara Iran, Italy dan Korea Selatan telah melaporkan peningkatan ketara kes coronavirus baharu dan kematian, manakala negara Jepun pula menunjukkan bukti transmisi di tahap komuniti, kata World Health Organization (WHO).

You may also like