Malaysia Membawa Pulang 66 Warganegara Dari Wuhan

Agensi Pengurusan Bencana Negara berkata saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari untuk setiap orang semasa proses pemantauan.

KUALA LUMPUR, Feb 26 — Sebuah pesawat dari China membawa pulang 66 penumpang bermastautin di bandaraya Wuhan ke Malaysia hari ini, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Pesawat AirAsia itu juga membawa balik 12 krew penerbangan dan sembilan wakil agensi kerajaan dari Malaysia di samping dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

“Semua 66 orang, iaitu 46 rakyat Malaysia dan 20 tanggungan (pasangan/anak) mereka bukan warga negara, telah pun melepasi tapisan kesihatan yang dibuat oleh Kerajaan China sebelum dibenarkan menaiki pesawat,” Nadma kata dalam sebuah kenyataan.

Sebaik mendarat penumpang-penumpang ini dibawa menaiki bas ke “Air Disaster Unit” untuk melalui tapisan kesihatan, dan kemudian dibawa menaiki bas ke Pusat Pemantauan di Negri Sembilan.

“Mereka yang tidak melepasi saringan kesihatan akan dihantar terus ke hospital yang telah ditetapkan,” Nadma kata, dan tambah bahawa saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari untuk setiap orang semasa proses pemantauan.

Nadma berkata walaupun sebelum ini jumlah yang berdaftar dengan kedutaan Malaysia di China adalah 75 orang, enam orang yang hadir di lapangan terbang China tidak dapat menaiki pesawat kerana tidak melepasi saringan kesihatan di situ.

Manakala, seorang rakyat Malaysia telah menarik diri atas faktor kesihatan tanpa hadir ke lapangan terbang, seorang lagi tidak dapat turut serta disebabkan komitmen kerja, dan seorang lagi pula tidak dapat meninggalkan Wuhan atas masalah logistik.

Misi bantuan kemanusiaan dan bencana tersebut merupakan kedua yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia berikutan isu kluster Covid-19 di negara China, dan hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan, termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dan Polis Diraja Malaysia.

“Kerajaan Malaysia ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dan pasangan/anak mereka ini berjalan lancar dan semua selamat tiba di bumi Malaysia,” Nadma kata.

You may also like