Bantuan Sihat Selangor 2020 Untuk Rawatan Perubatan Dibuka

Program memberi bantuan dialisis buah pinggang, katarak mata, pembedahan, kaki palsu, dan lain-lain permohonan bantuan peralatan dan rawatan.

KUALA LUMPUR, 20 Feb — Warga Selangor dengan pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan dan bawah boleh sekarang memohon bantuan dari kerajaan negeri untuk beberapa jenis rawatan perubatan.

Menteri Besar Amirudin Shari mengumumkan semalam program Bantuan Sihat Selangor 2020 telah dibuka, yang memberi bantuan dialisis buah pinggang, katarak mata, pembedahan, kaki palsu, dan lain-lain permohonan bantuan peralatan dan rawatan di hospital kerajaan.

Katanya di akaun Twitter beliau, pendaftaran boleh dibuat melalui pautan bantuansihat.selangor.gov.my.

Walau bagaimanapun, pemohon yang mendapat kelulusan program Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Peka B40, adalah penjawat awam, dan keluarga pegawai, tidak akan dipertimbangkan.

Setiap pemohon juga hanya dibenarkan membuat permohonan sekali sahaja setiap tahun, dan sebelum 30 September.

Menerusi portal Bantuan Sihat Selangor, mereka yang ingin memohon untuk bantuan dari pihak negeri Selangor perlu ada surat kelulusan Bantuan Sara Hidup (BSH) dari Kementerian Kewangan Malaysia atau maklumat pendaftaran e-Kasih.

Keutamaan akan diberi kepada pemohon yang tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak, dan pemohon yang mempunyai tanggungan ramai, ketua keluarga meninggal, ahli keluarga yang sakit, atau golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Rawatan bagi katarak mata, pembedahan kecil dan lain-lain rawatan perubatan hanya boleh dilaksanakan di hospital kerajaan sahaja.

Permohonan bantuan untuk bantuan pembedahan kecil dan katarak mata pula perlu dimohon sebulan lebih awal daripada tarikh pembedahan.

Segala tuntutan bayaran yang dikeluarkan tahun ini perlu dikemukakan sebelum 30 November. Tuntutan bayaran selepas tarikh ini tidak akan diproses oleh kerajaan negeri.

Pihak kerajaan negeri juga tidak akan timbangkan permohonan berkaitan kos perjalanan dan sumbangan kewangan, atau tuntutan bayaran dan tunggakan ke atas sesuatu bil rawatan yang telah dibayar.

Untuk pembekal bantuan program Sihat Selangor pula, farmasi mereka perlu didaftar dengan Lembaga Farmasi Malaysia, manakala pusat hemodialisis swasta perlu mempunyai perakuan kelulusan dan lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bantuan ini diperkenalkan sejak tahun 2009 oleh kerajaan negeri.

You may also like