Peka B40 Bayar RM26 Juta Untuk Alat Perubatan Bagi Pesakit

Seramai lebih 280,000 penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) telah menjalankan saringan kesihatan Peka B40.

KUALA LUMPUR, 11 Feb — Skim Peka B40 telah membayar RM25.8 juta untuk bantuan alat perubatan kepada penerima daripada golongan B40.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad juga berkata RM449,700 telah dibayar untuk manfaat Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser, manakala sebanyak RM827,438 telah dibayar untuk manfaat Insentif Tambang Pengangkutan.

“Berdasarkan data yang terkini iaitu sehingga 31 Januari 2020, seramai lebih 280,000 penerima BSH telah menjalankan Saringan Kesihatan PeKa B40 di seluruh negara,” Dzulkefly berkata di majlis pelancaran perluasan skim mySalam di kompleks Kementerian Kewangan Malaysia hari ini.

Beliau juga berkata skim mySalam di bawah Kementerian Kewangan, yang dijalankan oleh syarikat insuran Great Eastern, dan skim Peka B40 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan saling melengkapi antara satu sama lain.

“Kedua-dua skim ini berkongsi prinsip sosial yang sama iaitu memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Dari segi peringkat umur yang disasarkan, mySalam ditawarkan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berumur 18 hingga 55 tahun manakala Peka B40 pula ditawarkan kepada penerima BSH yang berumur 40 tahun dan ke atas,” Dzulkefly berkata.

Skim mySalam, yang memberi RM8,000 kepada penerima jika mereka dilanda satu daripada 36 penyakit kritikal sekiranya mereka menerima diagnosis selepas 1 Januari 2019, boleh diguna-pakai di lebih 145 buah fasiliti KKM di seluruh Malaysia, di samping hospital-hospital di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pertahanan Malaysia.

You may also like